fb fb fb fb fb

Iskandar Investment lancar CBD sifar karbon, sasar pelaburan sehingga RM9 bilion menjelang 2030

Iskandar Investment Berhad menjangkakan populasi di CBD itu akan meningkat daripada kira–kira 30,000 orang ketika ini, kepada 65,000 orang / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 15 November - Iskandar Investment Berhad (IIB) melancarkan Pusat Daerah Perniagaan (CBD) sifar karbon yang pertama di wilayah Asia Tenggara, di Medini, Iskandar Puteri, di sini dengan sasaran pelaburan sehingga RM9 bilion menjelang 2030.

Presiden IIB, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata pihaknya menjangka populasi di CBD itu akan meningkat daripada kira–kira 30,000 orang ketika ini, kepada 65,000 orang.

"Perkembangan populasi itu mampu mencipta sosio ekonomi lebih teguh kepada penduduk di Medini, serta seluruh Iskandar Puteri.

"Usaha menaik taraf CBD tersebut kepada CBD Sifar Karbon juga dapat menjadi kesan pengganda kepada Johor dan Malaysia, seterusnya meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta kadar pekerjaan, dan pelaburan asing," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 di Persada, di sini.

Tambah Idzham, faktor tersebut dapat membantu memacu Malaysia, mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyokong penuh inisiatif tersebut yang dilihat selari dengan matlamat Johor, mencapai tujuh peratus kenaikan KDNK, bernilai RM260 billion pada 2030.

Pada Jun lalu, IIB telah menandatangani perjanjian kolaborasi bersama tujuh syarikat Kenderaan Elektrik (EV), untuk menggalakkan penggunaan EV dan tenaga boleh diperbaharui di Iskandar Puteri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN