fb fb fb fb fb

GCCC, CIDB Holdings meterai MoU luaskan akses antarabangsa industri binaan

Foto FB CIDB Holdings

KUALA LUMPUR, 31 Disember - Global Construction Certification Centre Sdn Bhd (GCCC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CIDB Holdings Sdn Bhd bagi memperluas akses antarabangsa kepada perkhidmatan pengujian produk binaan, pensijilan serta latihan industri.

Pengerusi GCCC, Tan Sri Liow Tiong Lai berkata, GCCC akan berperanan sebagai pemudah cara teknikal dalam memacu transformasi industri melalui jalinan hubungan dengan pengilang, institusi, agensi serta pemain industri luar negara yang berminat mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

"GCCC memiliki rangkaian kerjasama strategik yang merangkumi makmal pengujian, institusi latihan dan rakan industri di Malaysia, China serta beberapa pasaran antarabangsa, yang membolehkan aktiviti promosi, pengenalan perkhidmatan dan pertukaran pengetahuan dilaksanakan secara lebih berstruktur dan berperingkat." katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, GCCC komited untuk menyokong usaha memperkukuh pengiktirafan dan kefahaman terhadap keperluan piawaian industri binaan.

Ini terutamanya melalui pendekatan kerjasama, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program promosi dan pembangunan kapasiti yang bersesuaian dengan keperluan pasaran antarabangsa.

Kerjasama itu turut membuka ruang kepada penganjuran bersama aktiviti promosi di peringkat antarabangsa termasuk seminar, persidangan, pameran dan misi dagang.

Selain itu, kerjasama berkenaan membolehkan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti kepada peserta antarabangsa, tertakluk kepada persetujuan bersama pihak-pihak yang terlibat.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI