fb fb fb fb fb

FBM KLCI meningkat berikutan pelabur buru kaunter sarung tangan

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 17 September- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada Selasa lebih tinggi, seiring dengan saham global berikutan jangkaan yang meningkat terhadap pengurangan besar kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Sehubungan itu, ini menyaksikan pelabur memihak kepada kaunter sarung tangan berikutan laporan bahawa AS akan memuktamadkan tarif ke atas barangan China termasuk sarung tangan perubatan bulan ini.

Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 12.13 mata atau 0.73 peratus kepada 1,664.28 daripada 1,652.15 semasa ditutup Jumaat lepas.

FBM KLCI dibuka 2.16 mata lebih kukuh kepada 1,654.31 dan bergerak antara 1,651.55 dan 1,664.99 sepanjang hari dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 658 berbanding 433 manakala 455 kaunter tidak berubah, 959 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.19 bilion unit bernilai RM3.35 bilion berbanding 2.84 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Jumaat.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata sentimen semakin baik itu turut didorong peningkatan semula harga minyak mentah menjelang keputusan penting daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS esok dan Bank of Japan serta People's Bank of China pada 20 September.

“Kami yakin pasaran mungkin menentukan penurunan kadar sebanyak 50 mata asas (bps) bagi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) esok untuk mempengaruhi keputusan Fed.

“Walaupun strategi ini mungkin melemahkan lagi dolar AS, unjuran kami masih memihak kepada penurunan 25 bps,” katanya kepada Bernama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.18 peratus kepada US$72.88 setong.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, walaupun situasi tidak menentu meningkat, prospek pasaran tempatan kekal optimis namun berhati-hati, dipacu oleh penilaian memberangsangkan, pendapatan korporat yang kukuh dan keadaan ekonomi yang lebih baik.

"Sehubungan itu, momentum belian saham mewah dijangka berterusan pada sepanjang minggu. Kami mengunjurkan FBM KCI akan berada dalam julat 1,650-1,670 minggu ini dengan paras rintangan segera pada 1,670 dan sokongan pada 1,630," katanya.

Antara kaunter sarung tangan, Hartalega mendahului apabila menghampiri hadnya dan meningkat 29.75 peratus atau 72 sen kepada RM3.14, Kossan naik 42 sen kepada RM2.25, Top Glove menokok 22.5 sen kepada RM1.14 manakala Supermax melonjak 14 sen kepada 93 sen.

Menurut laporan Bloomberg, tarif AS terhadap sarung tangan perubatan dari China akan meningkat kepada 50 peratus pada 2025 dan 100 peratus pada 2026.

Sementara itu, IHH Healthcare meneraju saham wajaran tinggi apabila melonjak 27 sen kepada RM7.05, CIMB menokok 20 sen kepada RM8.36 dan Press Metal meningkat 13 sen kepada RM4.91.

CelcomDigi naik enam sen kepada RM3.76 dan Petronas Chemicals meningkat lapan sen kepada RM5.58. Maybank naik dua sen kepada RM10.66 manakala Public Bank dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah kepada RM4.70 dan RM21.20.

Bagi saham aktif, Careplus menambah 4.5 sen kepada 30.5 sen, MYEG naik tiga sen kepada 93 sen, WCT menokok lima sen kepada RM1.06, OCR tidak berubah pada enam sen dan Sarawak Consolidated turun satu sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 119.56 mata kepada 12,421.87, Indeks FBM Emas Syariah naik 158.13 mata kepada 12,273.94 dan Indeks FBMT 100 meningkat 121.19 mata kepada 12,137.49.

Indeks FBM 70 melonjak 297.93 mata kepada 17,579.81 dan Indeks FBM ACE meningkat 18.07 mata kepada 5,102.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 89.85 mata kepada 19,640.95, Indeks Tenaga menambah 6.91 mata kepada 869.72, Indeks Perladangan naik 32.74 mata kepada 7,213.47 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 1.76 mata kepada 176.91.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.88 bilion unit bernilai RM3.14 bilion daripada 1.54 bilion unit bernilai RM2.51 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran susut kepada 932.78 juta unit bernilai RM108.56 juta berbanding 997.96 juta unit bernilai RM125.24 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 370.14 juta unit bernilai RM96.42 juta daripada 301.37 juta unit bernilai RM103.85 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 230.10 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (257.34 juta), pembinaan (160.64 juta), teknologi (195.44 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (103.11 juta), hartanah (169.56 juta), perladangan (15.65 juta), REIT (11.64 juta), dana tertutup (176,200), tenaga (63.13 juta), penjagaan kesihatan (570.93 juta), telekomunikasi dan media (17.81 juta), pengangkutan dan logistik (26.57 juta), utiliti (59.85 juta) dan amanah perniagaan (497,500). -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA