fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup kukuh menjelang pembentangan Belanjawan 2024

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan hari ini dengan ditutup tinggi susulan sokongan daripada saham perbankan dan perjudian di tengah-tengah aliran meningkat di bursa saham serantau lain dan menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.32 mata kepada 1,436.49 daripada paras penutup 1,435.17 pada Selasa. Indek itu yang dibuka rendah turun 0.42 mata kepada 1,434.75, bergerak antara paras 1,432.27 dan 1,438.45 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 464 berbanding 399, manakala 465 kaunter tidak berubah, 1,014 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.01 bilion unit bernilai RM2.18 bilion daripada 3.39 bilion unit bernilai RM2.02 bilion pada Selasa.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup tinggi seiring dengan kenaikan di Wall Street semalaman apabila penurunan hasil bon Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan sentimen.

"Para pelabur didapati lega dengan petanda tekanan inflasi di kebanyakan negara yang dilihat semakin menurun, yang seterusnya akan memberi peluang kepada Rizab Persekutuan AS (Fed AS) menghentikan seketika atau malahan menamatkan kenaikan agresif kadar faedah mereka yang bertujuan untuk mengawal kenaikan harga,” katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, katanya, pelabur pasaran yakin dalam berhati-hati memandangkan sentimen pasaran tempatan yang bertambah baik dan kembalinya semula aliran dana asing.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan tinggi dalam jajaran 1,430-1,445 bagi tempoh berbaki minggu ini dengan paras ketahanan pada 1,460 dan membentuk paras sokongan baharu pada 1,430," katanya.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran tempatan diniagakan tinggi hari ini apabila hasil AS terus diniagakan rendah manakala pasaran serantau juga mendapat rangsangan daripada kemungkinan pelancaran pakej rangsangan fiskal di China.

"Bagaimanapun, kenaikan terhad menjelang pengumuman data inflasi AS (esok) dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) lewat malam ini.

"Selain itu, keadaan konflik di Timur Tengah yang tidak dapat dijangka juga tidak membantu. Tetapi setakat minggu ini, hasil AS yang lebih rendah telah memberi kesan yang lebih besar ke atas pasaran berbanding mana-mana sentimen risiko Timur Tengah pada tahap ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.90 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional naik dua sen setiap satu masing-masing kepada RM4.15 dan RM9.99. CIMB menokok lima sen kepada RM5.60 namun Petronas Chemicals susut tujuh sen kepada RM7.23.


(Foto hiasan)

Dalam kalangan kaunter cergas, Sarawak Consolidated menokok dua sen kepada 51.5 sen, Classita turun setengah sen kepada 7.5 sen dan KNM Group jatuh satu sen kepada 11 sen. Kanger International dan UEM Sunrise susut 1.5 sen setiap satu masing-masing kepada 10 sen dan 85.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 9.57 mata kepada 10,638.85, Indeks FBMT 100 menokok 8.95 mata kepada 10,303.49 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 8.98 mata kepada 10,878.34.

Indeks FBM 70 menokok 9.88 mata kepada 14,146.42 dan Indeks FBM ACE jatuh 16.80 mata kepada 5,176.71.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 25.14 mata kepada 6,873.64, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 70.87 mata kepada 16,180.55 dan Indeks Tenaga menokok 3.65 mata kepada 878.51. Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian jatuh 0.62 mata kepada 172.21.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menurun kepada 2.06 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM1.77 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 246.68 juta unit bernilai RM37.06 juta daripada 363.63 juta unit bernilai RM52.36 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 684.53 juta saham bernilai RM221.24 juta daripada 674.16 juta saham bernilai RM197.00 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 413.75 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (436.08 juta); pembinaan (144.59 juta); teknologi (84.40 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (83.71 juta); hartanah (308.69 juta); perladangan (39.17 juta); REITs (8.03 juta), dana tertutup (66,400); tenaga (361.01 juta); penjagaan kesihatan (59.07 juta); telekomunikasi dan media (27.23 juta); pengangkutan dan logistik (32.62 juta) dan utiliti (58.49 juta).- BERNAMA

Media Baharu