fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi, indeks utama melepasi paras 1,500

Prestasi itu dicatatkan ketika tumpuan beralih kepada pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang berlangsung hari ini / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 24 Januari - Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih positif apabila indeks petunjuk utama melangkaui paras psikologi 1,500 ketika sentimen kekal memberangsangkan meskipun prestasi semalaman Wall Street lemah.

Prestasi itu dicatatkan ketika tumpuan beralih kepada pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang berlangsung hari ini.

Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.74 mata kepada 1,500.85 berbanding paras 1,496.11 yang dicatatkan petang semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.05 mata pada 1,497.16.

Sentimen pasaran adalah postitif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 171 berbanding 116 manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,764 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 179.32 juta unit bernilai RM77.47 juta.

Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata FBM KLCI bergerak dalam aliran peningkatan semalam dan prestasi itu dijangka berterusan dalam persekitaran pasaran yang lebih tenang dengan indeks petunjuk utama dijangka sekali lagi melepasi paras psikologi 1,500.

Menurutnya, perkembangan itu berlaku di tengah-tengah tumpuan pelabur terhadap keputusan BNM mengenai OPR yang dijangkakan menyaksikan kadar semasa 3.0 peratus dikekalkan.

Di peringkat global, katanya, tumpuan lebih ke arah pengumuman pelaporan pendapatan sukuan AS ketika ini.

“Sebarang peningkatan seterusnya berkemungkinan memacu indeks penanda aras itu ke paras rintangan semasa pada 1,504. Paras rintangan dalam masa terdekat adalah pada 1,465,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Public Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI mungkin dalam julat kecil pada sesi awal hari ini selepas penanda aras Wall Street S&P 500 dan Nasdaq mendatar semalaman berikutan pelaporan pendapatan bercampur-campur daripada industri yang dilihat boleh menjejaskan kenaikan baru-baru ini.

"FBM KLCI diunjur di paras mendatar sekitar 1,485, seiring dengan sentimen pasaran. Paras sokongan bagi indeks adalah pada 1,485, 1,455 dan 1,430, manakala rintangan pada 1,515, 1,551 dan 1,580," katanya dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank untung satu sen kepada RM4.36; CIMB, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing menokok tiga sen kepada RM6.05, RM6.82 dan RM6.03; CelcomDigi menambah dua sen kepada RM4.26 manakala Hong Leong Bank meraih lapan sen kepada RM19.20.

Tenaga bagaimanapun susut enam sen kepada RM10.44 manakala Maybank tidak berubah pada RM9.09.

Bagi saham aktif, Widad Group dan Handal Energy masing-masing menambah 1.5 sen kepada 20 sen dan 12.5 sen, YNH Property naik empat sen kepada 65 sen, Sarawak Consolidated meraih 2.5 sen kepada 46 sen manakala Leform menokok setengah sen kepada 20 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 32.07 mata kepada 11,176.25; Indeks FBM 70 menambah 24.01 mata kepada 15,149.73; Indeks FBMT 100 meraih 29.88 mata kepada 10,831.92, Indeks FBM Emas Shariah naik 31.1 mata kepada 11,269.95 dan Indeks FBM ACE meraih 7.21 mata kepada 4,861.09.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.27 mata kepada 16,729.74; Indeks Perladangan meraih 4.75 mata kepada 907.89; Indeks Perladangan menambah 17.8 mata kepada 7,173.6; Indeks Tenaga menokok 2.67 mata kepada 860.83 selain Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 174.17.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN