fb fb fb fb fb

Al Rajhi Bank Malaysia lantik CEO baharu

Mohd Syahrul Ishak, dilantik sebagai CEO baharu Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd berkuat kuasa hari ini

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd mengumumkan pelantikan Mohd Syahrul Ishak sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.

Mohd Syahrul akan mengambil alih kepimpinan bank daripada Ketua Pegawai Risiko, Muhammed Uzman Muhammed Faleel yang dilantik sebagai CEO sementara selepas Arsalaan (Oz) Ahmed meletak jawatan Oktober tahun lalu.

Pengerusi Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia), John Roger Winfield dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pencapaian terbaik kerjaya Mohd Syahrul dalam bidang perbankan dengan kepimpinan strategik, pemacu transformasi dan kecemerlangan operasi akan membantu pertumbuhan dan kejayaan bank secara berterusan.

“Ahli Lembaga Al Rajhi Bank dan saya mengharapkan kerjasama yang kukuh dengan Mohd Syahrul ketika kami membina momentum yang telah diwujudkan,” katanya.

Bank itu berkata Mohd Syahrul mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam sektor perbankan dan kewangan dengan rekod cemerlang.

Sebelum ini, beliau memegang jawatan pengarah urusan dan ketua serantau pengurusan tunai dan perbankan urus niaga kumpulan serta ketua pemerolehan kad dan pembiayaan peribadi, perbankan pengguna di CIMB Bank dan pengarah urusan serta ketua serantau bagi perbankan pengguna di CIMB Islamic, kata Al Rajhi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE