fb fb fb fb fb

Agihan keuntungan TH 3.25 peratus, tertinggi dalam tujuh tahun

Foto fail

KUALA LUMPUR, 21 Mac - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata keseluruhan agihan keuntungan berkenaan berjumlah RM2.92 bilion, akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.

“Kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus (RM99.35 juta),” kata Mohd Na’im pada Sidang Media Pengumuman Kadar Agihan Keuntungan TH bagi tahun kewangan 2024, di sini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman, Pengerusi Lembaga TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH Mustakim Mohamad.

Mohd Na’im berkata agihan keuntungan tertinggi sejak 2018 itu dipacu prestasi pelaburan lebih baik, kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi.

“Alhamdulillah sehingga kini, jumlah keseluruhan agihan keuntungan TH sejak penubuhannya selama 61 tahun ini ialah sebanyak RM45.79 bilion,” katanya.

Pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan 2024, akan dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Ahad ini, menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat, selain saluran elektronik bank rakan strategik Tabung Haji iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Pada sidang media sama, beliau turut mengumumkan pelunasan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk tahun 2024, yang diselaras berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.

Jelas Mohd Na' im pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar.

Sebagai institusi yang menguruskan simpanan pendeposit bagi mengerjakan ibadah haji, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di negara ini mengerjakan haji, dengan turut menanggung Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM2.8 bilion sejak diperkenalkan pada 2001.

Mengenai Program Zakat Wakalah, Mohd Na’im berkata TH telah menyantuni lebih 670,000 asnaf di seluruh negara pada tahun lepas, dengan keseluruhannya lebih 2.2 juta asnaf telah menerima manfaat daripada inisiatif sama dalam tempoh sedekad lepas.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata pengisytiharan agihan keuntungan itu mematuhi Akta Tabung Haji, 1995 dan diumumkan setelah penyata kewangan TH tahun 2024 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara. 

Untuk rekod, bagi tahun kewangan 2020 hingga 2023, agihan keuntungan TH berada pada kadar 3.10 peratus, manakala bagi 2019 dan 2018 masing-masing pada kadar 3.05 dan 1.25 peratus.

TETITIA YUSOFF