Marquez terus unggul, juarai GP Jerman

Foto AFP

SACHSENRING, 12 Julai – Juara dunia tujuh kali, Marc Marquez terus membuktikan statusnya sebagai “Raja Sachsenring” apabila melengkapkan kemenangan berganda dengan menjuarai Grand Prix (GP) Jerman, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alex Marquez memberi tekanan awal namun terbabas pada pusingan ke-10.
  • Marc mengawal perlumbaan selepas itu sebelum melintasi garisan penamat untuk meraih kemenangan kelas perdana ke-10 di Sachsenring.
  • Ai Ogura muncul naib juara selepas memintas rakan sepasukan Raul Fernandez, yang menamatkan di tempat ketiga.
  • Marco Bezzecchi terpaksa menarik diri akibat patah tulang selangka kiri; Fabio Di Giannantonio terbabas awal dan gagal mengutip mata.

Pelumba Ducati Lenovo itu menukar kelebihan bermula dari petak utama kepada kemenangan selepas turut menguasai perlumbaan pecut semalam, sekali gus menambah koleksi kemenangan di litar yang sinonim dengan kejayaannya.

Bagaimanapun, Marquez tidak memperoleh laluan mudah apabila diasak hebat oleh adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini Racing pada peringkat awal perlumbaan.

Alex yang cuba memberi tekanan bagaimanapun gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas pada pusingan ke-10.

Selepas itu, Marc mengawal perlumbaan dengan tenang sebelum melintasi garisan penamat untuk meraih kemenangan kelas perdana ke-10 dalam kariernya di Sachsenring.

Pelumba Trackhouse Racing, Ai Ogura muncul naib juara selepas memintas rakan sepasukan, Raul Fernandez, pada penghujung perlumbaan, manakala Fernandez melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Kejayaan itu turut menyaksikan Ogura muncul pelumba Jepun pertama sejak 2002 yang berjaya menaiki podium kelas perdana dalam tiga perlumbaan berturut-turut.

Pendahulu kejuaraan dunia, Jorge Martin dari Aprilia menamatkan perlumbaan di tempat kelima di belakang pelumba KTM, Pedro Acosta yang menduduki tangga keempat.

Sementara itu, pelumba VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio gagal mengutip mata selepas terbabas pada peringkat awal perlumbaan, manakala Marco Bezzecchi terpaksa menarik diri daripada GP Jerman susulan kecederaan patah tulang selangka kiri yang dialami ketika sesi kelayakan.