KUALA LUMPUR, 18 Disember - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) membuktikan kematangan dan komitmen kukuh dalam mendukung agenda pembangunan usahawan negara sepanjang dua dekad penubuhannya, selaras dengan aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, Rahman Mohd Din berkata, tempoh 20 tahun itu bukan satu perjalanan singkat, sebaliknya mencerminkan peranan signifikan SME Bank dalam memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negara.
"Suatu ketika dulu, tiada bank yang khusus buat memberi pembiayaan kepada usahawan kecil dan sederhana. Banyak yang meluahkan kegusaran atas perkara itu.
"Idea penubuhan sebuah bank khusus bagi melaksanakan program pembiayaan kepada PMKS tercetus daripada keperluan tersebut," katanya dalam sebuah Majlis Anugerah Usahawan di ibu negara.
Menurut Rahman negara kini mempunyai kira-kira 1.08 juta PMKS, mewakili 96.1 peratus keseluruhan premis perniagaan, dengan sumbangan hampir 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM652.4 bilion pada tahun 2024.
"KUSKOP memainkan peranan penting memastikan sokongan berterusan kepada PMKS merangkumi sektor strategik negara termasuk pelancongan, eksport, teknologi dan Industri 4.0, industri halal, kelestarian dan peralihan karbon rendah, keusahawanan wanita serta pembangunan francais," tambahnya lagi.
Beliau turut menyeru para usahawan agar mengekalkan integriti dalam pengurusan perniagaan, menjaga kualiti produk dan perkhidmatan serta memastikan kejayaan yang dicapai memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
KUSKOP, akan terus bekerjasama rapat dengan SME Bank bagi memperkukuh ekosistem PMKS, sekali gus membina asas ekonomi negara yang lebih mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.