LOS ANGELES, 13 Januari- Rancangan baharu Netflix berjudul "With Love, Meghan" yang dibintangi oleh Meghan Markle, isteri kepada Putera Harry dari Britain ditunda bagi menghormati mangsa kebakaran hutan di Los Angeles, California.
Program yang menampilkan gaya hidup dan masakan dengan lapan episod itu sepatutnya ditayangkan pada Rabu ini namun ditunda ke Mac depan atas permintaan Meghan sendiri.
"Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di Netflix atas sokongan dalam menunda pelancaran ini, sementara kita memberi tumpuan kepada keperluan mereka yang terkesan oleh kebakaran hutan di negeri asal saya, California," katanya dalam kenyataan.
Meghan dilahirkan di Los Angeles dan kini tinggal di Montecito bersama Harry berkata keputusan itu diambil atas dasar memberi sokongan kepada mereka yang terjejas dalam kejadian itu.
Kebakaran yang masih berlaku di Los Angeles itu telah memusnahkan ribuan rumah dan mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa, setakat ini.
Menurut kenyataan Netflix, rancangan itu adalah "sebuah penghormatan yang tulus kepada keindahan California Selatan" namun terpaksa ditunda bagi menghormati kemusnahan yang berlaku.
Keputusan menunda pelancaran "With Love, Meghan" dibuat atas permintaan Meghan dan dengan sokongan penuh daripada Netflix, menurut pihak itu.
Minggu lalu, Meghan dan Harry melawat Pasadena di sini bagi menyantuni mangsa kebakaran dan menyeru rakyat California 'membuka pintu' untuk mereka yang tiada tempat tinggal.
Pasangan itu turut menyatakan, "Jika ada rakan, orang dikasihi atau haiwan peliharaan yang terpaksa melarikan diri dan anda mampu memberi mereka perlindungan di rumah anda, sila lakukan."
Laporan akhbar Telegraph di Britain juga menyebut pasangan itu turut memberi perlindungan kepada "rakan-rakan dan orang tersayang yang terpaksa dipindahkan akibat kebakaran hutan" serta telah menyumbangkan "pakaian, barangan kanak-kanak dan keperluan asas lain."
Sejak mereka menarik diri daripada tugas rasmi diraja pada awal 2020, Duke dan Duchess of Sussex itu tidak lagi bergantung pada kewangan diraja dan mereka mencari sumber pendapatan sendiri.
Kerjasama mereka dengan Netflix menghasilkan "Harry & Meghan", sebuah siri dokumentari enam episod yang dilancarkan pada Disember 2022.
Pada Mac 2024, Meghan melancarkan jenama gaya hidup American Riviera Orchard.
BERITA BERKAITAN
- Kebakaran: Tujuh sekolah di Los Angeles masih ditutup
- 'Firenado' muncul dalam kebakaran di Los Angeles
- Kemarahan memuncak di Los Angeles terhadap tindak balas kebakaran
- Kebakaran hutan di Los Angeles terburuk dalam sejarah California
- Penduduk LA diingatkan kekal dalam rumah, elak asap toksik kebakaran hutan
- Penduduk tuntut penjelasan punca kebakaran di LA