fb fb fb fb fb

Penduduk LA diingatkan kekal dalam rumah, elak asap toksik kebakaran hutan

Foto AFP

LOS ANGELES, 12 Januari – Jabatan kesihatan memberi amaran kepada penduduk Los Angeles agar kekal berada di dalam rumah berikutan asap toksik yang dihasilkan oleh kebakaran hutan besar yang sedang menyelubungi kawasan tersebut.

Kebakaran besar yang sedang memusnahkan bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat (AS) itu menghasilkan awan toksik yang mencemari udara dan menyelubungi kawasan luas dengan asap memedihkan.

"Kita semua terdedah kepada asap kebakaran hutan ini, yang merupakan campuran zarah kecil, gas, dan wap air," kata Anish Mahajan dari Jabatan Kesihatan Awam Daerah Los Angeles dalam satu sidang media.

"Zarah-zarah kecil inilah yang masuk ke hidung dan tekak kita, menyebabkan sakit tekak dan sakit kepala.

"Semua orang di kawasan yang terdapat asap yang kelihatan atau bau asap, dan juga di kawasan di mana anda tidak melihatnya, kita tahu bahawa kualiti udara adalah buruk. Jadi, anda perlu mengurangkan pendedahan di luar rumah sebanyak mungkin."

Mahajan turut menasihatkan agar semua individu, termasuk mereka yang sihat, kekal di dalam rumah sebanyak mungkin dan menggunakan sistem penapisan udara.

Bagi mereka yang terpaksa bekerja di luar rumah, pemakaian pelitup muka N95 disyorkan kerana ia mampu menapis zarah kecil daripada memasuki tubuh.

Namun, golongan muda, warga emas, dan mereka yang kurang sihat perlu lebih berhati-hati.

"Mereka yang berisiko tinggi terhadap kesan kesihatan buruk... kanak-kanak, warga emas, mereka yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung, serta individu dengan sistem imun yang lemah mungkin mengalami simptom lebih teruk seperti sesak nafas, semput, batuk, dan sakit dada," tambahnya.

Beberapa kebakaran besar yang berlaku di sekitar Los Angeles telah memusnahkan kawasan luas, menjadikan rumah, perniagaan, kenderaan, dan tumbuh-tumbuhan menjadi abu.

Ini bermakna bahan plastik, kimia, bahan bakar, dan bahan binaan turut terbakar dan kini tergantung di udara di kawasan berpenduduk padat.

Pada Jumaat, daerah Los Angeles telah mengisytiharkan darurat kesihatan awam akibat asap tersebut dan melarang penggunaan mesin seperti peniup daun yang boleh membangkitkan abu berbahaya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN