LONDON, 31 Disember – Menteri Luar Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland dan United Kingdom mengeluarkan kenyataan bersama menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan situasi kemanusiaan di Gaza.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar United Kingdom, menteri-menteri luar negara tersebut menyatakan kebimbangan serius terhadap kemerosotan keadaan kemanusiaan di Gaza yang kekal berada pada tahap bencana.
Kenyataan itu memaklumkan penduduk awam di Gaza berdepan dengan penderitaan termasuk hujan lebat dan penurunan suhu menjelang musim. Keadaan itu bertambah perit dengan kekurangan bekalan makanan serta kemudahan kesihatan yang kritikal.
Para menteri turut menggesa Israel memastikan operasi pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa (NGO) di Gaza dapat berjalan secara berterusan bagi menjamin tindak balas kemanusiaan yang berkesan.
Selain, menekankan keperluan memastikan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dapat terus menyalurkan bantuan ke wilayah berkenaan.
Israel juga digesa supaya melonggarkan sekatan ke atas import barangan dwiguna serta membuka pintu lintasan sempadan bagi memudahkan aliran bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Kerajaan Palestin baru-baru ini menyeru masyarakat antarabangsa dan agensi PBB agar mengambil tindakan kemanusiaan segera bagi melindungi penduduk Gaza daripada cuaca musim sejuk yang ekstrem.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat mingguannya di Ramallah, Kerajaan Palestin turut menggesa agar rumah sementara dan bekalan perlindungan lain dibenarkan masuk ke wilayah tersebut.-REUTERS
