WASHINGTON, 31 Disember -Selepas hampir 12 tahun, usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kini disambung semula.
Pencarian semula pesawat yang membawa 39 penumpang dan anak kapal itu dilakukan pada Selasa di kawasan terpencil Lautan Hindi selatan.
Penyiasat Amerika Syarikat (AS) menggunakan teknologi robotik laut dalam terkini serta analisis data yang lebih maju, kini menyisir dasar laut bagi mencari petunjuk.
Kerajaan Malaysia memberi lampu hijau kepada satu usaha baharu yang diketuai syarikat robotik marin berpangkalan di Texas, Ocean Infinity, menerusi kontrak “tiada penemuan, tiada bayaran”, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Media melaporkan Ocean Infinity hanya akan menerima bayaran sebanyak AS$70 juta sekiranya berjaya menemui bangkai pesawat berkenaan.
Fasa pencarian baharu itu dijangka berlangsung hingga 55 hari dan memberi tumpuan kepada kawasan lebih kecil, sekitar 15,000 kilometer persegi, berdasarkan data satelit terkini, pemodelan pergerakan arus dan analisis pakar.
Ocean Infinity akan menggunakan kenderaan bawah air autonomi yang mampu beroperasi sehingga kedalaman hampir 6,000 meter dan beroperasi selama beberapa hari tanpa naik ke permukaan.
Peralatan itu dilengkapi sonar resolusi tinggi, pengimejan ultrabunyi dan magnetometer bagi memetakan dasar laut secara tiga dimensi serta mengesan sisa logam yang tertanam.
Jika terdapat penemuan berpotensi, kenderaan kawalan jauh akan diturunkan untuk pemeriksaan lebih terperinci.
Ocean Infinity sebelum ini mengetuai satu pencarian yang tidak berhasil pada 2018 sebelum bersetuju melancarkan usaha baharu tahun ini. AFP telah menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan komen, namun belum menerima maklum balas.
MH370 berlepas dari Kuala Lumpur sejurus selepas tengah malam pada 8 Mac 2014 menuju ke Beijing dalam penerbangan enam jam yang sepatutnya berjalan lancar.
Namun, kurang sejam kemudian, transponder pesawat Boeing 777 itu terpadam, menyebabkan ia hilang daripada radar awam.
Data radar tentera kemudiannya menunjukkan pesawat berpatah balik ke arah barat, merentasi Semenanjung Malaysia sebelum menuju ke selatan merentasi Lautan Hindi yang luas.
Susulan itu, operasi pencarian terbesar dan paling mahal dalam sejarah penerbangan dilancarkan, melibatkan pasukan pelbagai negara yang menyisir lebih 120,000 kilometer persegi dasar laut di perairan barat Australia menggunakan kapal, pesawat dan sonar.
Namun, usaha tersebut tidak menemukan sebarang bukti. Operasi itu dihentikan pada 2017.
Setakat ini, hanya serpihan pesawat dipercayai milik MH370 ditemui. Sejak 2015, kurang daripada 30 kepingan, termasuk bahagian sayap, roda pendaratan dan badan pesawat, ditemui terdampar di beberapa lokasi yang berjauhan ribuan kilometer, dari Pulau Reunion hingga Mozambique. Tiada mayat pernah ditemukan. - AFP
