KAHERAH, 31 Disember -Kementerian Pelancongan dan Barangan Purba Mesir mengumumkan pada Selasa penemuan beberapa bengkel industri yang dipercayai berasal dari Zaman Akhir (747-332 SM) dan peringkat awal era Ptolemaic (332-30 SM) di Wilayah Beheira, utara Kaherah, lapor Xinhua.
Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa misi arkeologi bersama Mesir-Itali menemui bengkel berkenaan bersama sebahagian daripada tanah perkuburan Rom yang menampilkan pelbagai corak pengebumian semasa penggalian di tapak Kom Al-Ahmar dan Kom Wassit di Beheira.
Ketua Sektor Barang Purba Mesir di kementerian itu, Mohamed Abdel-Badie berkata, bengkel industri itu terdiri daripada sebuah bangunan besar yang dibahagikan kepada sekurang-kurangnya enam bilik.
Menurutnya, dua daripada bilik berkenaan dikhaskan untuk pemprosesan ikan, di mana pasukan misi itu menemukan kira-kira 9,700 tulang ikan - bukti industri ikan masin yang meluas pada tempoh berkenaan.
Abdel-Badie menambah bahawa bilik-bilik lain berkemungkinan digunakan untuk menghasilkan alatan logam dan batu, serta azimat "faience", berdasarkan penemuan beberapa patung batu kapur yang belum siap dan barangan lain dalam pelbagai peringkat pembuatan.
Penggalian itu turut menemukan "amphorae" (tempayan purba) yang diimport dan serpihan tembikar Greece, yang membolehkan aktiviti bengkel itu dikesan bermula pada abad ke-5 SM.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Barangan Purba Mesir, Mohamed Ismail Khaled berkata, penemuan itu dapat membantu memperdalam pemahaman tentang aktiviti manusia dan kehidupan harian di barat Delta Nil serta kawasan pedalaman di sekitar Alexandria.
Beliau menjelaskan bahawa penemuan ini merupakan tambahan saintifik yang penting kepada kajian corak penempatan, amalan pengebumian, dan aktiviti industri di Barat Delta Nil, selain memberikan pandangan baharu tentang rangkaian komunikasi serantau dari Zaman Akhir hingga era Rom dan awal Islam. - BERNAMA