DHAKA, 31 Disember -Ribuan rakyat Bangladesh dijangka hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri, Khaleda Zia, menerusi upacara pengebumian negara, pada Rabu.
Kerajaan interim yang dipimpin pemenang Hadiah Keamanan Nobel, Muhammad Yunus, mengisytiharkan tiga hari berkabung nasional.
Upacara pengebumian negara akan bermula dengan solat jenazah di luar bangunan Parlimen sekitar pukul 2.00 petang waktu tempatan.
Bendera akan dikibarkan separuh tiang dan pasukan keselamatan dalam jumlah besar dijangka dikerahkan di seluruh ibu negara, Dhaka.
Yunus berkata Bangladesh telah "kehilangan seorang penjaga yang agung".
Jenazah Zia akan dikebumikan di sisi suaminya, Ziaur Rahman, yang dibunuh pada 1981 ketika memegang jawatan presiden.
Zia, wanita pertama yang memegang jawatan perdana menteri di negara Asia Selatan berpenduduk kira-kira 170 juta itu, meninggal dunia pada Selasa pada usia 80 tahun.
"Khaleda Zia merupakan sumber inspirasi,” kata suri rumah Sharmina Siraj kepada AFP, sambil menambah bahawa "sukar untuk membayangkan wanita akan memegang jawatan kepimpinan dalam masa terdekat".
Ibu kepada dua anak berusia 40 tahun itu berkata, skim elaun yang diperkenalkan Zia bagi menyokong pendidikan kanak-kanak perempuan "memberi kesan besar kepada kehidupan anak-anak perempuan kami. Bagi saya, itulah sumbangan terbesarnya".
Walaupun bertahun-tahun mengalami masalah kesihatan dan pernah dipenjarakan, Zia berikrar untuk berkempen dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 12 Februari undian pertama sejak kebangkitan besar-besaran menumbangkan musuh politiknya, Sheikh Hasina, tahun lalu. - AFP