KIEV, 31 Disember -Empat orang, termasuk tiga kanak-kanak, cedera selepas serangan Rusia di bandar pelabuhan Odesa, menurut pentadbiran ketenteraan bandar itu pada Rabu.
Ketua pentadbiran ketenteraan wilayah Odesa berkata melalui Telegram bahawa serangan dron menyasarkan kawasan kediaman serta infrastruktur logistik dan tenaga di wilayah berkenaan.
Dalam kenyataan berasingan, beliau memaklumkan dua kanak-kanak berusia lapan dan 14 tahun turut cedera, selain seorang bayi berusia tujuh bulan. Seorang lelaki berusia 42 tahun juga dilaporkan cedera parah dan kini berada dalam keadaan serius.
Serangan itu berlaku selepas Ukraine menafikan dakwaan melancarkan serangan dron ke atas salah satu kediaman Presiden Rusia, Vladimir Putin, serta menuduh Moscow menyebarkan maklumat palsu bagi memanipulasi rundingan untuk menamatkan perang.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang menyifatkan dakwaan Rusia itu sebagai “rekaan sepenuhnya”, berkata beliau akan bertemu dengan pemimpin negara sekutu Kyiv pada 6 Januari depan di Perancis dalam usaha menghidupkan semula inisiatif perdamaian.
Pada Selasa, Kremlin menyatakan ia menganggap serangan dron yang didakwa menyasarkan kediaman terpencil Putin di wilayah Novgorod sebagai satu “tindakan pengganas” dan “serangan peribadi terhadap Putin”.
Namun, pihak berkuasa Rusia mengakui tidak dapat mengemukakan bukti kerana mendakwa semua dron terbabit telah ditembak jatuh. - AFP