PHNOM PENH, 31 Disember -Thailand pada Rabu membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan sejak Julai lalu.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, mengesahkan kesemua 18 tentera tersebut selamat tiba di Kemboja sekitar pukul 10.00 pagi waktu tempatan.
“Kami boleh mengesahkan bahawa 18 wira kami telah selamat kembali ke tanah air,” katanya kepada AFP.
Kementerian Luar Thailand turut mengesahkan penghantaran pulang anggota tentera berkenaan, menyifatkannya sebagai satu langkah “demonstrasi niat baik dan pembinaan keyakinan” antara kedua-dua negara.
Seorang bapa kepada tentera yang dibebaskan, Voeung Vy, meluahkan kegembiraan dan berkata beliau tidak sabar untuk bertemu anaknya di Phnom Penh.
“Saya sangat gembira. Saya tidak sabar untuk bertemunya. Saya terlalu merinduinya,” katanya.
Kemboja dan Thailand bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Sabtu lalu bagi menamatkan pertempuran terbaharu di sempadan yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan lebih sejuta penduduk berpindah sepanjang bulan ini.
Bawah perjanjian itu, kedua-dua negara bersetuju menghentikan tembakan, membekukan pergerakan tentera serta bekerjasama dalam usaha menyahperiuk api di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
Mereka juga bersetuju membenarkan penduduk awam di kawasan sempadan pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Thailand bersetuju memulangkan 18 tentera Kemboja yang ditahan dalam tempoh 72 jam, dengan syarat gencatan senjata terus dipatuhi.
Kemboja mendakwa anggota tenteranya ditahan pasukan Thailand pada 29 Julai, hampir lapan jam selepas satu gencatan senjata yang menamatkan lima hari pertempuran maut mula berkuat kuasa. - AFP