fb fb fb fb fb

Datuk Bandar LA, bomba nafi perbalahan ketika kebakaran hutan marak

Foto AFP

LOS ANGELES, 12 Januari – Datuk Bandar dan bomba Los Angeles menafikan laporan berlakunya pertelingkahan dalam pengendalian kebakaran hutan besar yang sedang memusnahkan bandar dan mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa.

Dalam sidang media, Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass menafikan dakwaan bahawa beliau bercadang untuk memecat Ketua Jabatan Bomba Los Angeles (LAFD), Kristin Crowley.

Crowley, yang berdiri bersama Bass, menyatakan bahawa pemimpin politik bandar, jabatan bomba, dan polis kini “bersatu suara” dalam usaha melawan kebakaran tersebut.

“Seperti yang anda lihat, ketua jabatan dan saya seiring dalam misi utama kami, iaitu untuk mengatasi situasi kecemasan ini,” kata Bass.

“Kami mahu memastikan nyawa diselamatkan, perumahan dipelihara, dan perniagaan dilindungi. Jika terdapat perbezaan pandangan, kami akan menyelesaikannya secara tertutup,” tambah beliau.

Crowley pada mulanya dilihat mengkritik pemimpin bandar apabila menyatakan bahawa jabatan bomba kekurangan dana.

“Pesanan saya adalah bahawa jabatan bomba perlu dibiayai dengan sewajarnya. Tetapi itu tidak berlaku,” katanya kepada rangkaian tempatan Fox.

Beberapa jam selepas itu, Crowley mengadakan pertemuan tertutup dengan Bass di dewan bandar.

Mesyuarat yang berlangsung sehingga lewat malam itu menyebabkan Bass terpaksa membatalkan satu taklimat media.

Portal Daily Mail kemudian melaporkan bahawa Bass telah memecat Crowley.

Namun, kedua-dua mereka menafikan laporan tersebut dalam sidang media bersama Ketua Jabatan Polis Los Angeles, Jim McDonnell.

Crowley menegaskan bahawa pemimpin bandar bersatu dalam menghadapi bencana tersebut.

“Kami berdua memberi tumpuan kepada keperluan mendesak untuk mengurangkan kebakaran hutan ini. Keutamaan kami adalah menyelamatkan nyawa dan melindungi harta benda,” katanya.

Bass memberi jaminan bahawa jabatan bomba akan diberikan semua sumber yang diperlukan untuk mengawal kebakaran tersebut.

“Jika Ketua Crowley menghubungi saya dan menyatakan keperluan tertentu, maka itulah yang akan kami laksanakan,” tegas Bass.

Kebakaran hutan dahsyat itu terus memusnahkan kawasan kediaman dan perniagaan, menyebabkan usaha intensif daripada semua pihak untuk mengawal keadaan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN