fb fb fb fb fb

Gunung Ibu meletus, muntahkan lava, abu setinggi 4km

Foto AFP/ Agensi Geologi Indonesia

JAKARTA,11 Januari- Gunung berapi di timur Indonesia, Gunung Ibu meletus hari ini dengan memuntahkan lava panas dan mengeluarkan asap serta abu setinggi empat kilometer ke udara, menurut kenyataan rasmi.

Gunung Ibu yang terletak di pulau Halmahera, wilayah Maluku Utara, meletus pada pukul 7.45 malam waktu tempatan.

"Lava dapat dilihat sejauh dua kilometer dari pusat letusan," kata Ketua Agensi Geologi, Muhammad Wafid, dalam satu kenyataan.

Imej dari pos pemantauan menunjukkan api merah menyala dan asap tebal berwarna gelap menjulang tinggi di atas kawah gunung berapi itu.

Gunung tersebut kini masih berada pada tahap amaran kedua tertinggi.

Tiada arahan pemindahan baharu dikeluarkan. Bagaimanapun pelawat dan penduduk telah diarahkan untuk menjauhi kawasan sejauh empat hingga 5.5 kilometer dari puncak.

Agensi tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka dan cermin mata pelindung bagi mengelakkan kesan abu gunung berapi.

Gunung Ibu merupakan antara gunung berapi paling aktif di Indonesia, dengan lebih daripada 2,000 letusan direkodkan pada tahun lalu.

Pulau Halmahera didiami lebih 700,000 penduduk setakat tahun 2022.

Indonesia sebuah negara yang mempunyai banyak kepulauan, sering mengalami aktiviti gempa bumi dan letusan gunung berapi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik.

Tahun lalu, Gunung Ruang di Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa ribuan penduduk di pulau-pulau berhampiran berpindah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN