WARSAW, 31 Disember – Salji tebal yang melanda Poland menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh 20 kilometer di Lebuh raya S7 yang menghubungkan Warsaw dan Gdansk pada malam Selasa.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kereta-kereta tersekat antara Olsztynek dan Ostroda, dengan salji tebal menutupi sebahagian besar permukaan jalan.
Anita Deptula, yang terperangkap di S7 antara Ostroda dan Olsztynek, memberitahu Reuters beliau terperangkap lebih enam jam sebelum dapat keluar pada tengah malam. Katanya banyak kenderaan kehabisan minyak dan membawa kanak-kanak, dengan jalan disekat oleh dua lori.
Keadaan sukar itu bermula pada petang Isnin apabila lori-lori menghadapi masalah di cerun sepanjang laluan, menurut Tomasz Markowski, jurucakap polis di bandar utara Olsztyn. Ratusan orang terperangkap di dalam kereta dalam keadaan sejuk beku sepanjang malam.
Polis turut membantu pemandu yang terperangkap, menyediakan kopi dan teh panas yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Ostroda.
Menjelang awal pagi Rabu (31 Disember), lalu lintas kembali bergerak di lebuh raya tersebut.-REUTERS
