fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza harap 2026 bawa keamanan

Foto AFP

GAZA, 31 Disember - Menjelang 2026, penduduk di Gaza menyambut tahun baharu bukan dengan perayaan, tetapi dengan keletihan, kesedihan dan harapan supaya 'mimpi ngeri' mereka berakhir.

Bagi penduduk wilayah yang dilanda perang itu, kehidupan seharian adalah perjuangan untuk bertahan.

Sebahagian besar infrastruktur Gaza musnah, bekalan elektrik masih terhad dan ratusan ribu orang tinggal di khemah sementara selepas berulang kali dipindahkan sepanjang dua tahun konflik yang bermula pada Oktober 2023.

“Kami di Jalur Gaza hidup dalam mimpi ngeri tanpa henti,” kata Hanaa Abu Amra, seorang wanita yang dipindahkan di Gaza City.

“Kami berharap mimpi ngeri ini berakhir pada 2026… Yang paling kami harapkan adalah kehidupan normal, bekalan elektrik dipulihkan, jalan-jalan kembali normal dan boleh berjalan tanpa khemah menghiasi jalan raya,” katanya.

Di seluruh Gaza, kesusahan menjadi pemandangan biasa dengan kanak-kanak beratur mengambil air dan khemah terbentang menempatkan keluarga yang kehilangan rumah.

Kawasan yang dahulunya meriah kini terjejas akibat pengeboman dan penghujung tahun menjadi masa untuk meratapi kehilangan serta menaruh harapan.

Walaupun berdepan kemusnahan, sebahagian penduduk masih berharap tahun baharu akan menamatkan peperangan dan memberi peluang untuk membina semula kehidupan.

Harapan menjadi simbol ketabahan, terutamanya selepas gencatan senjata yang bermula 10 Oktober memberi sedikit kelegaan, tetapi kekurangan makanan, air bersih dan bekalan perubatan terus menjadi cabaran besar.

Di sebalik runtuhan dan khemah, aspirasi ramai penduduk Gaza adalah sederhana: keselamatan, kestabilan dan maruah sambil berharap Gaza kembali indah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN