GAZA, 12 Januari- Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh di wilayah Palestin dalam tempoh 48 jam lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza kendalian Hamas melaporkan angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kematian penduduk Palestin meningkat kepada 46,537 orang, manakala sekurang-kurangnya 109,571 orang cedera dalam tempoh lebih 15 bulan konflik antara Israel dan Hamas.
Kementerian itu juga memaklumkan telah melengkapkan data dan mengesahkan identiti seramai 499 mangsa yang terkorban.
Sumber dari bahagian pengumpulan data kementerian memberitahu AFP bahawa kesemua 499 kematian itu berlaku dalam beberapa bulan lalu.
Jumlah kematian di Gaza telah menjadi isu perdebatan sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Hamas sebagai tindak balas kepada serangan luar biasa kumpulan itu tahun lalu.
Pihak berkuasa Israel berulang kali mempertikaikan angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza.
Namun, satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal perubatan British, The Lancet, menganggarkan bahawa jumlah kematian di Gaza sepanjang sembilan bulan pertama perang Israel-Hamas adalah kira-kira 40 peratus lebih tinggi daripada yang direkodkan oleh kementerian Kesihatan itu.
Kajian baharu itu menggunakan data daripada kementerian, tinjauan dalam talian dan obituari di media sosial, namun hanya merekodkan kematian akibat kecederaan. Ia tidak termasuk kematian akibat kekurangan penjagaan kesihatan atau makanan, serta ribuan yang hilang dan dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) berpandangan angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza sebagai boleh dipercayai.-AFP