TOKYO, 13 Januari- Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda barat daya Jepun malam ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran mengenai gelombang tsunami setinggi sehingga satu meter selepas gempa berlaku di luar pesisir Miyazaki, wilayah Kyushu pada pukul 9.19 malam waktu tempatan.
USGS pada awalnya mencatatkan kekuatan gempa pada 6.9 magnitud sebelum mengubahnya kepada 6.8 magnitud sambil menegaskan bahawa berdasarkan penilaian awal "tiada ancaman tsunami daripada gempa ini."
Bagaimanapun, JMA tetap menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan pantai.
"Tsunami boleh melanda secara berulang. Tolong, jangan masuk ke laut atau menghampiri kawasan pesisir pantai," menurut agensi itu menerusi platform X. -AFP