LOS ANGELES, 13 Januari- Puting beliung api atau dikenali sebagai fire tornado (firenado) muncul di tengah kebakaran Palisades ketika kebakaran hutan yang dahsyat terus merebak di Los Angeles memusnahkan keseluruhan kawasan kejiranan dan mengorbankan lebih 20 orang.
Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Deanne Criswell memberi amaran bahawa angin yang berbahaya dan kuat dijangka mempercepatkan penyebaran kebakaran ke kawasan kediaman.
"Angin dijangka kembali menjadi kuat dan berbahaya. Perkara paling penting yang perlu diketahui orang ramai adalah bahawa keadaan ini masih berbahaya," katanya kepada CNN pada Ahad.
Seramai 24 orang disahkan terkorban setakat ini dengan lapan mangsa ditemukan di kawasan kebakaran di Palisades, manakala 16 lagi di Eaton.
Bagaimanapun pihak berkuasa tidak memberikan butiran lanjut mengenai identiti mangsa.
Sementara itu, puluhan ribu penduduk yang diarah meninggalkan kediaman mereka tidak dibenarkan pulang selama sekurang-kurangnya empat hari.
Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone berkata angin kencang yang dijangka berlaku sepanjang minggu ini menjadikan keadaan kecemasan kebakaran belum selesai.
Jelasnya perbincangan mengenai pemulihan hanya akan bermula selepas angin kuat berlarutan hingga Rabu. -AFP
BERITA BERKAITAN
- Kemarahan memuncak di Los Angeles terhadap tindak balas kebakaran
- Kebakaran hutan di Los Angeles terburuk dalam sejarah California
- Penduduk LA diingatkan kekal dalam rumah, elak asap toksik kebakaran hutan
- Datuk Bandar LA, bomba nafi perbalahan ketika kebakaran hutan marak
- Penduduk tuntut penjelasan punca kebakaran di LA