fb fb fb fb fb

Tentera Korea Utara dakwa tidak tahu berperang di Ukraine

Dua anggota tentera Korea Utara yang ditawan oleh Ukraine dan kini sedang menerima rawatan di Kyiv/Reuters

KYIV, 13 Januari- Dua anggota tentera Korea Utara yang ditawan oleh pasukan tentera Ukraine di wilayah Kursk mendakwa mereka tidak mengetahui bahawa mereka dihantar untuk berperang dalam konflik Ukraine-Rusia.

Rakaman yang diterbitkan oleh Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy pada 12 Januari lalu menunjukkan kedua-dua tentera tersebut cedera tetapi selamat dan ditempatkan di sini.

Mereka kini berada dalam tahanan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam satu temu bual dengan wartawan yang turut melibatkan penterjemah bahasa Korea, seorang daripada tentera itu diminta menjawab beberapa soalan:

Wartawan: "Adakah anda tahu di mana anda berada sekarang?" (Soalan diterjemahkan ke bahasa Korea oleh penterjemah.)
Tentera Korea Utara: Menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

Wartawan: "Adakah anda tahu bahawa anda berperang dalam perang menentang Ukraine?"
Tentera Korea Utara: Menggelengkan kepala lagi.

Wartawan: "Apakah yang diberitahu oleh pegawai atasan anda ketika menghantar anda ke medan perang?"
Penterjemah: "Mereka memberitahunya bahawa ini hanyalah latihan."

Sementara itu, Presiden Zelenskyy menjelaskan bahawa usaha untuk menangkap mereka adalah mencabar kerana tentera Rusia dan tentera Korea Utara yang lain sering membunuh rakan mereka yang cedera untuk menghapuskan bukti penglibatan Korea Utara dalam perang itu.

"Ukraine bersedia menyerahkan askar ini kepada (Pemimpin Korea Utara) Kim Jong Un jika beliau dapat mengatur pertukaran dengan tentera kami yang kini ditahan di Rusia.

"Bagi mereka (tentera Korea Utara) yang tidak mahu pulang, kami terbuka kepada pilihan lain termasuk memberi peluang kepada mereka yang ingin menyebarkan kebenaran tentang perang ini dalam bahasa Korea," katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Kumpulan Taktikal No. 84 dari Pasukan Operasi Khas Angkatan Tentera Ukraine serta pasukan payung terjun atas kejayaan mereka menawan kedua-dua individu tersebut.

Seperti tawanan perang lain, kedua-dua tentera berkenaan diberikan rawatan perubatan yang diperlukan, menurut beliau.

Zelenskyy juga telah mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Ukraine untuk memberikan akses kepada wartawan bagi menemui tawanan tersebut. "Dunia perlu tahu kebenaran tentang apa yang sedang berlaku," katanya. -Reuters

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA