fb fb fb fb fb

Rakyat Rusia dipenjara sembilan tahun, bantu tentera Ukraine

FOTO HIASAN

MOSCOW, 13 Januari- Sebuah mahkamah di Siberia telah menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun kepada seorang lelaki atas tuduhan pengkhianatan, selepas dia didakwa memindahkan wang untuk membiayai angkatan bersenjata Ukraine.

Sejak menghantar tentera ke Ukraine hampir tiga tahun lalu, Moscow kerap menjatuhkan hukuman penjara berat kepada individu yang dituduh mengintip atau membantu Ukraine.

Kes terbaru ini melibatkan Sergei Loshakov, seorang penduduk Surgut di Siberia.

Loshakov, yang dianggap "bermusuhan dengan dasar dalaman dan luar Rusia," disabitkan kesalahan kerana berhubung dengan seorang individu yang tidak dikenali melalui aplikasi pemesejan Telegram, sebelum memindahkan wang kepada tentera Ukraine.

Mahkamah wilayah di Khanty-Mansiisk telah memerintahkan Loshakov menjalani hukuman sembilan tahun di koloni penjara keselamatan tinggi.

Rusia telah menghukum ribuan warganya kerana menentang kempen di Ukraine.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE