RIO DE JANEIRO, 13 Januari- Sekurang-kurangnya 10 orang maut akibat tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat di tenggara Brazil, lapor perkhidmatan penyelamat negeri Minas Gerais pada Ahad.
Seramai sembilan mangsa terkorban di bandar Ipatinga selepas 80 milimeter hujan turun dalam tempoh satu jam pada malam Sabtu.
Menurut pejabat Datuk Bandar Ipatinga, salah seorang korban adalah seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang ditemukan mati akibat tanah runtuh yang meranapkan rumah mereka.
Satu lagi kejadian tanah runtuh melanda kawasan berbukit di kejiranan Bethania memusnahkan segala-galanya di sepanjang jalan.
Sehingga petang Ahad, seorang lagi mangsa dari kawasan tersebut masih hilang meskipun empat ahli keluarganya telah diselamatkan.
Satu mayat lagi ditemukan di bandar Santana do Paraiso menjadikan ia korban ke-10, setakat ini.
Gabenor Minas Gerais, Romeu Zema turut menyatakan rasa "solidariti dengan mangsa" dalam kenyataan di media sosial.
Negara terbesar di Amerika Latin itu telah dilanda beberapa kejadian cuaca ekstrem sepanjang tahun lalu. Banjir besar disebabkan hujan lebat mengorbankan lebih 180 orang di selatan Brazil pada April dan Mei lalu.
Brazil juga mengalami kemarau teruk akibat perubahan iklim yang menyumbang kepada kebakaran hutan terburuk dalam tempoh 17 tahun dan memusnahkan sebahagian besar hutan hujan Amazon. -AFP