SEOUL, 13 Januari- Korea Selatan akan melaksanakan perubahan terhadap halangan konkrit navigasi di lapangan terbang seluruh negara susulan nahas pesawat Jeju Air yang meragut 179 nyawa pada Disember lalu.
"Kajian semula diperlukan termasuk pembaikan pada 'localiser' (panduan arah pendaratan) dan asasnya di sembilan fasiliti merangkumi tujuh lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Muan," menurut kenyataan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.
Penambahbaikan tersebut turut melibatkan lapangan terbang antarabangsa di Jeju dan Gimhae dengan rancangan untuk memuktamadkan pelan perubahan menjelang akhir Januari dan menyiapkan projek itu dalam tahun ini.
Tragedi pesawat Boeing 737-800 yang dalam penerbangan dari Thailand ke Muan, Korea Selatan berlaku pada 29 Disember lalu membawa 181 penumpang dan anak kapal.
Ia mendarat menggunakan bahagian bawah badan pesawat di Lapangan Terbang Muan sebelum meletup akibat merempuh halangan konkrit di hujung landasan.
Kejadian tersebut merupakan bencana penerbangan paling dahsyat dalam sejarah Korea Selatan.
Penyiasatan masih dijalankan oleh pakar Korea Selatan dan Amerika Syarikat dengan tumpuan kepada beberapa aspek termasuk kedudukan halangan konkrit yang dipercayai memperburukkan kesan nahas.
Kementerian itu turut memaklumkan pada Sabtu bahawa kotak hitam pesawat yang merekod data penerbangan dan suara kokpit berhenti berfungsi empat minit sebelum nahas berlaku.
Pejabat Lapangan Terbang Muan, pejabat penerbangan serantau dan ibu pejabat Jeju Air di Seoul juga telah diserbu bagi membantu siasatan.
Tempoh penutupan Lapangan Terbang Muan turut dilanjutkan sehingga 19 Januari, menurut kementerian berkenaan. -AFP
BERITA BERKAITAN
- Kotak hitam pesawat Jeju Air berhenti merakam empat minit sebelum nahas
- Korea Selatan: Polis serbu Lapangan Terbang Muan dan pejabat Jeju Air
- Nahas pesawat Jeju Air: Keluarga mangsa tuntut penjelasan
- Nahas pesawat Jeju Air: 174 mayat telah dikenal pasti
- Korea Selatan berkabung, nahas pesawat Jeju Air ragut 179 nyawa
- Tragedi nahas Jeju Air: PM ucap takziah kepada keluarga mangsa