fb fb fb fb fb

Nahas pesawat Jeju Air: Keluarga mangsa tuntut penjelasan

Foto REUTERS

SEOUL, 31 Disember- Korea Selatan mempergiatkan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan udara domestik paling dahsyat negara itu.

Manakala keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Jeju Air (089590.KS) minggu ini menuntut maklumat lanjut berkaitan nahas.

Kesemua 175 penumpang dan empat daripada enam anak kapal terkorban apabila pesawat Boeing (BA.N) 737-800 itu mendarat secara kecemasan dan tergelincir di hujung landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan pada Ahad.

Pesawat tersebut meletup selepas merempuh tembok penahan yang menempatkan peralatan navigasi.

Namun, dalam manual operasi lapangan terbang yang dimuat naik awal tahun 2024, terdapat catatan bahawa tembok tersebut terletak terlalu dekat dengan hujung landasan dan mencadangkan lokasi peralatan itu dikaji semula semasa pelan pengembangan yang dirancang.

Seorang pegawai kementerian pengangkutan berkata pihak berkuasa perlu menyemak dokumen tersebut sebelum memberikan maklum balas.

Pada Isnin, Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok, mengarahkan pemeriksaan keselamatan kecemasan terhadap operasi penerbangan seluruh negara.

Ketegangan meningkat pada Selasa dalam kalangan keluarga mangsa yang menunggu mayat orang tersayang untuk dilepaskan dari lapangan terbang.

Seorang saudara mangsa, Park Han-shin, berkata mayat yang disimpan dalam peti sejuk beku sedang disiapkan untuk dipindahkan ke rumah pengebumian tetapi proses itu mungkin mengambil masa.

Beliau menggesa keluarga mangsa supaya bersabar.

Agensi Polis Kebangsaan berkata ia berusaha sedaya upaya mempercepatkan proses pengecaman lima mayat yang masih belum dikenalpasti dengan menambah kakitangan dan peralatan seperti penganalisis DNA pantas.

Perakam data penerbangan "kotak hitam" yang ditemui dari lokasi nahas kehilangan penyambung utama, dan pihak berkuasa sedang mengkaji cara mengekstrak data.
Pengambilan data dari perakam suara kokpit telah dimulakan, menurut kementerian pengangkutan.

Pemeriksaan ke atas kesemua 101 pesawat B737-800 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Korea Selatan dijangka selesai menjelang 3 Januari, walaupun lapangan terbang akan kekal ditutup sehingga 7 Januari, tambah kementerian itu dalam satu kenyataan.

Wakil dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan A.S. (NTSB), Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), dan pembuat pesawat Boeing turut menyertai siasatan.

Dalam satu kenyataan, NTSB berkata ia telah menghantar tiga penyiasat untuk membantu, termasuk pakar dalam faktor operasi dan kelaikan udara.

"Jika kita memerlukan lebih ramai pakar, kita akan menghantarnya," kata Jennifer Homendy, pengerusinya, dalam satu temu bual.

Penyiasat nahas sedang mempertimbangkan beberapa faktor yang berkemungkinan, seperti serangan burung dan sistem kawalan pesawat yang tidak berfungsi, serta tindakan juruterbang yang tergesa-gesa untuk cuba mendarat sejurus selepas mengisytiharkan kecemasan, menurut pegawai bomba dan pengangkutan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD