fb fb fb fb fb

Korea Selatan berkabung, nahas pesawat Jeju Air ragut 179 nyawa

FOTO REUTERS

MUAN, 30 Disember - Korea Selatan pada Isnin terkejut dengan kehilangan 179 nyawa selepas pesawat Jeju Air terhempas dan terbakar dengan pasukan penyiasat Amerika Syarikat (AS) menyertai pihak berkuasa tempatan bagi menyiasat punca nahas tersebut.

Pesawat Boeing 737-800 itu membawa 181 penumpang dari Thailand ke Korea Selatan ketika ia terhempas semasa mendarat pada Ahad.

Insiden itu mengorbankan semua penumpang kecuali dua pramugara yang diselamatkan dari serpihan pesawat dalam tragedi udara paling buruk di Korea Selatan.

Berdasarkan rakaman video, Pesawat Jeju Air Penerbangan 2216 mendarat dalam keadaan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, tergelincir dari landasan dengan asap keluar dari enjin sebelum melanggar dinding dan meletup.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara AS (NTSB) pada Ahad memaklumkan bahawa ia akan mengetuai pasukan penyiasat, termasuk wakil dari Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Pasukan itu juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Korea Selatan menyiasat punca nahas tersebut. Korea Selatan memiliki rekod keselamatan penerbangan yang kukuh.

Kedua-dua kotak hitam perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit telah ditemui.

Salah seorang pramugara yang terselamat dilaporkan sedar di hospital dan mampu berkomunikasi pada lewat Ahad, menurut agensi berita Yonhap.

“Saya sudah diselamatkan ketika tersedar,” kata lelaki berusia 33 tahun itu kepada doktor, menurut pihak hospital.

Beliau mengalami pelbagai patah tulang, manakala seorang lagi kru wanita berusia 25 tahun cedera pada buku lali dan kepala, lapor Yonhap.

Di dalam terminal lapangan terbang lewat Ahad, ahli keluarga yang berduka berkumpul untuk menunggu berita.

Seorang pegawai memanggil nama 65 mangsa yang telah dikenal pasti, dengan setiap nama mencetuskan tangisan kesedihan. - AFP

TETITIA YUSOFF