QUITO, 30 Disember- Dua terbunuh selain puluhan pelabuhan terpaksa ditutup susulan ombak besar setinggi empat meter membadai pantai Ecuador dan Peru, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
Setiausaha Pengurusan Risiko Ecuador, Jorge Carillo menyifatkan kejadian itu sebagai 'fenomena ekstrim' dan memberi amaran bahawa ia mungkin berulang lagi.
Dua kematian dilaporkan berlaku di kawasan Manta, barat daya Ecuador.
Di Peru, hampir semua pelabuhan ditutup akibat ombak kuat yang berterusan, kata Ketua Jabatan Oseanografi Tentera Laut, Enrique Varea, kepada stesen Canal N.
Ombak dijangka reda sedikit mulai Isnin dan kembali normal pada awal Januari.
Ketua unit Pertahanan Awam Peru di Callao, Larry Linch berkata perubahan iklim adalah punca di sebalik fenomena ombak luar biasa ini.
Imej media tempatan menunjukkan beberapa jeti dan dataran awam tenggelam, memaksa penduduk mencari tempat lebih tinggi.
Banyak bot nelayan rosak dan tidak dapat beroperasi.
"Saya berusia 70 tahun dan tidak pernah melihat ombak sebegini kuat dan luar biasa," jelas seorang nelayan, saksi kejadian.
Selain itu, 31 nelayan yang terperangkap dalam ombak berjaya diselamatkan oleh tentera laut Peru, sementara sekitar 180 lagi dilaporkan masih berada di laut.
Pihak berkuasa Chile turut mengeluarkan amaran ombak besar di pesisir pantai tengah di Vina del Mar.
Menurut Pusat Operasi Kecemasan Nasional Peru, fenomena tersebut yang bermula pada Krismas, dijangka berlarutan hingga 1 Januari.- AFP