fb fb fb fb fb

Pilihan raya Chad dicemari dakwaan penipuan

Presiden Chad, Mahamat Idriss Deby Itno / Foto REUTERS

N'DJAMENA, 30 Disember - Chad mengadakan pilihan raya umum pada Ahad yang digambarkan kerajaan sebagai langkah penting ke arah menamatkan pemerintahan tentera.

Namun, pilihan raya itu dicemari dengan kehadiran pengundi yang rendah dan seruan boikot oleh pembangkang berikutan dakwaan penipuan.

Pilihan raya di negara tanpa pantai di utara Afrika berkenaan berlangsung di tengah-tengah serangan berulang oleh kumpulan pemberontak Boko Haram di wilayah Tasik Chad, penamatan perjanjian ketenteraan dengan bekas penjajah Perancis, serta tuduhan campur tangan Chad dalam konflik di Sudan yang berdekatan.

Kerajaan Chad menyifatkan pilihan raya ini sebagai peringkat akhir peralihan kepada demokrasi.

Presiden Mahamat Idriss Deby Itno mengambil alih kuasa pada 2021 selepas kematian bapanya, yang memerintah Chad selama tiga dekad.

Sementara itu, pembangkang menyeru agar pilihan raya diboikot dengan mendakwa keputusan telah ditetapkan terlebih dahulu.

Selepas pusat mengundi ditutup, kadar kehadiran pemilih mencatat 52.37 peratus, menurut agensi pilihan raya nasional (ANGE).

Di ibu negara, N'Djamena, pembangkang membantah keputusan itu, mendakwa terdapat pelbagai ketidakaturan, termasuk tentera yang mengundi sehari lebih awal tanpa kad pengenalan atau kad pemilih yang sah.

"Tentera yang datang mengundi semalam (berbuat demikian) tanpa kad pemilih atau kad pengenalan. Orang yang sama boleh mengundi sebanyak 25 hingga 50 kali," kata Abdelaziz Koulamallah, calon dari Parti Persekutuan untuk Keadilan dan Pembangunan (PFJD) dalam video di Facebook.

Pegawai pilihan raya di kawasan elit tempat keluarga presiden tinggal menyalahkan kehadiran rendah kepada "cuaca sejuk". Namun, pembangkang menegaskan bahawa angka rendah itu disebabkan oleh seruan boikot mereka.

Ketua parti pembangkang Transformers, Succes Masra, berkata, "Mereka semua kekal di rumah seperti yang kami serukan. Itu adalah majoriti besar."

Seruan boikot membuka ruang kepada calon-calon yang berpihak kepada presiden, yang dibawa ke tampuk kuasa oleh tentera pada 2021 dan disahkan dalam pilihan raya presiden Mei lalu yang turut dikecam sebagai penipuan oleh pembangkang.

"Saya menggesa semua rakyat saya untuk keluar mengundi secara beramai-ramai," kata Deby di Facebook, sambil berkongsi gambar dirinya membuang undi dan menyebut hari itu sebagai "hari bersejarah".

Sesetengah pengundi menyuarakan kekecewaan terhadap proses pilihan raya.

Herve Natouingan, seorang pekerja pembinaan berusia 28 tahun yang beralih menjadi pemandu teksi motosikal kerana kekurangan peluang pekerjaan, berkata, "Tiada makna untuk mengundi kerana tiada pengundian sebenar di Chad."

Namun, Patrice Lumumba Deoumoundou, 39 tahun, berharap undi beliau dapat membawa "perubahan menyeluruh" termasuk lebih banyak pekerjaan, harga yang stabil, dan keadilan sosial.

Agensi pilihan raya Chad mendakwa terdapat kehadiran tinggi dalam pengundian awal, khususnya di kalangan tentera dan komuniti nomad.

Lebih 100 pemerhati antarabangsa dan wakil parti politik memantau proses pilihan raya ini, di tengah-tengah kebimbangan penipuan dan dakwaan ketidakaturan.

Pembangkang terus menyeru rakyat untuk berwaspada dan mempersoalkan integriti pilihan raya tersebut sebagai langkah sebenar ke arah demokrasi di Chad.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD