fb fb fb fb fb

Wanita Austria diculik kumpulan bersenjata di Niger

Eva Gretzmacher, 73, yang diculik kumpulan bersenjata di Niger/Air-Info Agadez

VIENNA, 13 Januari- Seorang wanita Austria telah diculik oleh kumpulan bersenjata di bandar Agadez, utara Niger, menurut Kementerian Luar Austria pada Ahad.

"Malangnya, kami terpaksa mengesahkan kejadian ini," kata kementerian itu dalam emel kepada AFP.

Media tempatan, Air-Info Agadez memaklumkan identiti mangsa sebagai Eva Gretzmacher, 73, yang menetap di Agadez.

Kementerian luar Austria menambah bahawa mereka sedang berhubung dengan negara rakan kongsi, delegasi Kesatuan Eropah serta pihak berkuasa Niger untuk bantuan menyelamatkan Gretzmacher.

Bagaimanapun pihak berkuasa Niger termasuk Datuk Bandar Agadez enggan mengulas mengenai kejadian tersebut.

Menurut maklumat yang diperoleh oleh Air-Info, penculik bersenjata muncul di rumah Gretzmacher pada Sabtu malam dan memaksa pengawal untuk membuka pintu.

Gretzmacher kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah kenderaan. Penculik juga dikatakan tidak mengambil sebarang barangan berharga.

Air-Info dan akhbar harian Austria, Kurier melaporkan bahawa Gretzmacher yang dilahirkan di Vienna telah menubuhkan sebuah pusat pada 2010 untuk menjalankan projek dalam bidang pendidikan, kesihatan, pemberdayaan wanita, ekologi, budaya dan seni.

Sebelum ini, Gretzmacher pernah menerima ancaman penculikan pada tahun 2021, menurut Air-Info.

Niger merupakan sebuah negara miskin di rantau Sahel Afrika Utara telah ditadbir oleh junta tentera sejak rampasan kuasa pada Julai 2023 yang menggulingkan Presiden Mohamed Bazoum.

SITI AISHAH MD ISA