fb fb fb fb fb

Korea Selatan: Polis serbu Lapangan Terbang Muan dan pejabat Jeju Air

Foto REUTERS

SEOUL, 2 Januari-Polis Korea Selatan pada Khamis menyerbu Lapangan Terbang Muan dan pejabat Jeju Air diperyai ada kaitan nahas pesawat Boeing 737-800 yang meragut 179 nyawa .

Pesawat Jeju Air 2216 yang membawa 181 penumpang dari Thailand ke Korea Selatan pada Ahad mengeluarkan isyarat kecemasan sebelum mendarat dan tergelincir.

Pesawat itu kemudian melanggar penghadang dan terbakar, mengorbankan semua penumpang kecuali dua pramugari yang berjaya diselamatkan dari bangkai pesawat yang sedang marak terbakar.

Penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat, termasuk wakil Boeing, telah menjalankan siasatan di lokasi nahas di Muan, bagi mengenal pasti punca kejadian.

Kedua-dua kotak hitam telah ditemui, dan kerja-kerja analisis data sedang berlangsung.

“Berhubung kemalangan pesawat yang berlaku pada 29 Disember, operasi pencarian dan rampasan dokumen dijalankan bermula pukul 9.00 pagi (waktu tempatan) pada 2 Januari di tiga lokasi,” kata polis dalam satu kenyataan kepada AFP.

Lokasi serbuan termasuk Lapangan Terbang Muan, pejabat Jeju Air di Seoul, serta sebuah pejabat penerbangan serantau.

“Polis merancang untuk menentukan punca dan tanggungjawab insiden ini dengan pantas dan tegas mengikut undang-undang dan prinsip yang ditetapkan,” tambah kenyataan itu.

Susulan insiden itu, Korea Selatan telah mengarahkan pemeriksaan khas ke atas semua pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan syarikat penerbangan tempatan, dengan fokus kepada gear pendaratan yang disyaki gagal berfungsi semasa nahas.

Presiden sementara Korea Selatan, Choi Sang-mok, pada Khamis mengarahkan tindakan segera diambil sekiranya siasatan menemui sebarang masalah dengan model pesawat tersebut.

Terdahulu, pihak berkuasa memaklumkan bahawa 101 pesawat model sama digunakan oleh enam syarikat penerbangan tempatan.

“Memandangkan kebimbangan awam mengenai model pesawat yang terlibat, kementerian pengangkutan dan agensi berkaitan perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap penyelenggaraan operasi, latihan, dan pendidikan,” kata Choi.

“Jika sebarang isu dikenal pasti, sila ambil tindakan pembetulan dengan segera,” tambah beliau.

Nahas ini merupakan tragedi penerbangan terburuk yang pernah berlaku di Korea Selatan.

Pihak berkuasa telah mengekstrak data awal daripada perakam suara kokpit, namun perakam data penerbangan mengalami kerosakan dan akan dihantar ke Amerika Syarikat untuk analisis lanjut.

Pada peringkat awal, pihak berkuasa menyatakan kemungkinan nahas disebabkan oleh serangan burung, namun kini turut menyiasat impak pesawat dengan penghadang konkrit di hujung landasan yang mengakibatkan letupan besar, seperti yang dirakam dalam video.

Sementara itu, di Lapangan Terbang Muan, nota , makanan dan kalungan bunga diletakkan oleh ahli keluarga mangsa dan orang awam di lokasi nahas sebagai tanda penghormatan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD