CHISINAU, 2 Januari-Wilayah pemisah Moldova, Transdniestria, memotong bekalan pemanasan dan air panas kepada isi rumah pada Rabu selepas Rusia menghentikan penghantaran gas ke Eropah tengah dan timur melalui Ukraine.
Gangguan bekalan gas itu dirasai serta-merta di wilayah berpenduduk kira-kira 450,000 orang yang kebanyakannya berbahasa Rusia.
“Tiada pemanasan atau air panas,” kata seorang pekerja syarikat tenaga tempatan Tirasteploenergo kepada Reuters melalui telefon.
Beliau berkata tidak pasti berapa lama situasi ini akan berterusan.
Bekalan gas terputus pada awal pagi Rabu susulan tamatnya perjanjian transit gas antara Rusia dan Ukraine yang masih berperang.
Pemimpin Transdniestria, Vadim Krasnoselsky, menyifatkan situasi itu sebagai tidak mudah, tetapi secara keseluruhannya, pihaknya telah bersedia.
Beliau menjelaskan bahawa gangguan itu berpunca daripada pertikaian pembayaran tunggakan antara Moldova dan syarikat gas Rusia, Gazprom.
“Keadaan akan bertambah baik. Fikirkan tentang diri sendiri, keluarga dan orang tersayang,” katanya.
Sementara itu,menurut laman web syarikat tenaga tempatan, pemotongan bekalan pemanasan dan air panas bermula pada pukul 7.00 pagi waktu tempatan, namun beberapa kemudahan seperti hospital dikecualikan.
Penduduk dinasihatkan untuk berpakaian tebal, berkumpul di satu bilik, menutup tingkap dan pintu balkoni dengan selimut atau langsir tebal, serta menggunakan pemanas elektrik.
“Dilarang menggunakan dapur gas atau elektrik untuk pemanasan. Ini boleh menyebabkan tragedi", maklum syarikat berkenaan dalam kenyataan.
Suhu di Tiraspol, bandar utama Transdniestria, mencatatkan 4 darjah Celsius (39 darjah Fahrenheit) pada Rabu. Olga, seorang ibu berusia 42 tahun dengan dua anak, berkata hampir tiada haba keluar dari radiator di apartmennya.
“Kami menyediakan dua bilik untuk kecemasan ini dan memasang pendiang elektrik di sana kerana mereka berjanji tidak akan memutuskan bekalan elektrik,” katanya kepada Reuters.
“Jadi kami akan bertahan seperti ini, dengan harapan situasi gas ini hanya sementara", katanya.
Penghantaran gas Rusia melalui Ukraine dihentikan selepas Kyiv enggan memperbaharui perjanjian transit di tengah-tengah perang yang telah berlanjutan selama 34 bulan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, pada Rabu menyifatkan penamatan transit gas itu sebagai “salah satu kekalahan terbesar Moscow.”
Beliau menekankan bahawa kini menjadi tugas bersama Eropah untuk menyokong Moldova dalam tempoh transformasi tenaga ini.
Rusia sebelum ini membekalkan kira-kira 2 bilion meter padu gas setiap tahun ke Transdniestria, termasuk kepada sebuah loji kuasa yang membekalkan tenaga kepada seluruh Moldova.
Negara bekas Soviet itu, dengan populasi 2.5 juta orang, sedang berusaha untuk menyertai Kesatuan Eropah.
Moldova, yang mempunyai sejarah panjang pertikaian pembayaran gas dan hubungan tegang dengan Rusia, kini mengambil langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya satu pertiga.
Jurucakap kerajaan, Daniel Voda, berkata pengguna tenaga di Moldova berada dalam keadaan selamat dan loji janakuasa negara beroperasi seperti biasa.
Moldova juga merancang untuk memenuhi 38% keperluan tenaga domestiknya, termasuk 10% daripada tenaga boleh diperbaharui, manakala selebihnya akan diimport dari Romania.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang mencari penyelesaian alternatif untuk menyediakan haba dan tenaga kepada penduduk Transdniestria.
Bulan lalu, parlimen Transdniestria merayu kepada Kremlin dan parlimen Rusia untuk mencapai perjanjian baharu dengan Ukraine bagi membolehkan bekalan gas diteruskan.
Moscow sebelum ini menyatakan komitmen untuk melindungi rakyat dan tenteranya di Transdniestria.
Wilayah Transdniestria berpisah dari Moldova pada awal 1990-an semasa kejatuhan Kesatuan Soviet.
Rusia masih menempatkan kira-kira 1,500 tenteranya di kawasan tersebut.-REUTERS.