fb fb fb fb fb

Insiden tembakan Montenegro: Suspek maut dalam cubaan bunuh diri

Foto REUTERS

PODGORICA, 2 Januari- Seorang lelaki bersenjata yang membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dalam serangan ganas di sebuah bandar kecil di Montenegro maut akibat kecederaan yang dialaminya selepas cuba membunuh diri, kata Menteri Dalam Negeri Danilo Saranovic pada Khamis.

Suspek, yang dikenali sebagai Aleksandar Martinovic, 45, cuba membunuh diri berhampiran rumahnya di bandar Cetinje selepas dikepung oleh polis.

“Apabila menyedari dirinya dalam situasi terdesak, dia cuba membunuh diri.

"Dia tidak meninggal dunia di tempat kejadian, tetapi ketika dalam perjalanan ke hospital,” kata Saranovic kepada penyiar negara Montenegro, RTCG.

Bagaimanapun, Saranovic tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai percubaan bunuh diri itu.

Terdahulu, Martinovic melarikan diri selepas melepaskan tembakan pada petang Rabu di sebuah restoran di Cetinje, yang terletak 38 kilometer atau (23.6 batu) di barat ibu kota Montenegro, di sini, dan membunuh empat orang awam.

Dia kemudian bergerak ke tiga lokasi lain, membunuh sekurang-kurangnya enam orang lagi, termasuk dua kanak-kanak, kata polis.

Empat mangsa lain mengalami kecederaan parah.

Polis mendedahkan bahawa Martinovic mempunyai sejarah pemilikan senjata api secara haram.

Pada malam Rabu, Pengarah Polis Lazar Scepanovic berkata suspek dipercayai mabuk sebelum insiden tembakan berlaku.

Perdana Menteri Montenegro, Milojko Spajic, pula menyatakan bahawa berlaku pergaduhan sebelum tembakan dilepaskan.

Bagaimanapun, pihak polis percaya insiden itu tidak berkaitan dengan jenayah terancang.

Dalam pada itu, kejadian tembakan rambang itu mengejutkan Montenegro yang mempunyai penduduk seramai 605,000 orang.

Spajic menyifatkan insiden tersebut sebagai “tragedi mengerikan” dan mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tiga hari.

Sementara itu, Presiden Jakov Milatovic berkata beliau berasa terkejut dengan serangan tersebut.

Walaupun Montenegro mempunyai undang-undang senjata api yang ketat, rantau Balkan Barat yang merangkumi Serbia, Montenegro, Bosnia, Albania, Kosovo dan Macedonia Utara, masih dipenuhi senjata.

Kebanyakan senjata tersebut berasal dari perang berdarah pada 1990-an, malah ada yang wujud sejak Perang Dunia Pertama.

Spajic berkata pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk memperketatkan syarat pemilikan dan pengendalian senjata api, termasuk kemungkinan pengharaman sepenuhnya.

Insiden berkenaan berlaku selepas tragedi serupa di Cetinje pada tahun 2022, yang menyaksikan 11 orang, termasuk dua kanak-kanak dan seorang penyerang, terbunuh dalam serangan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD