fb fb fb fb fb

Korea Selatan: Suk Yeol ikrar lawan habis-habisan

Presiden Korea Selatan yang dipecat, Yoon Suk Yeol berikrar bagi melawan habis-habisan susulan penangkapannya / Foto REUTERS

SEOUL, 2 Januari-Presiden Korea Selatan yang dipecat, Yoon Suk Yeol, telah menghantar surat kepada para penyokongnya, dan berikrar akan "berjuang habis-habisan" ketika berdepan usaha pihak berkuasa untuk menangkapnya berhubung pelaksanaan undang-undang tentera yang singkat pada 3 Disember lalu, kata seorang peguam pada Khamis.

“Saya sedang menonton secara langsung di YouTube semua kerja keras yang anda lakukan,” tulis Suk Yeol dalam surat tersebut pada lewat Rabu kepada ratusan penyokong yang berkumpul berhampiran kediaman rasminya bagi membantah siasatan terhadap beliau.

“Saya akan berjuang habis-habisan untuk melindungi negara ini bersama anda,” katanya dalam surat yang gambarnya dihantar kepada Reuters oleh Seok Dong-hyeon, seorang peguam yang menasihati Suk Yeol.

Parti Demokratik pembangkang, yang menguasai majoriti di parlimen dan mengetuai pemecatan Suk Yeol pada 14 Disember, berkata surat itu membuktikan bahawa beliau berkhayal” dan tetap berazam untuk meneruskan pemberontakan beliau.

“Seolah-olah cubaan melancarkan pemberontakan, kini beliau menghasut penyokongnya untuk bertindak secara ekstrem,” kata jurucakap parti, Jo Seoung-lae, dalam satu kenyataan.

Terdahulu, mahkamah pada Selasa meluluskan waran tangkap terhadap Suk Yeol, yang berpotensi menjadikannya Presiden Korea Selatan pertama yang ditahan semasa siasatan berhubung dakwaan merancang pemberontakan dengan cuba melaksanakan undang-undang tentera.

Pemberontakan merupakan antara beberapa tuduhan jenayah yang tidak memberikan imuniti kepada seorang Presiden Korea Selatan.

Pejabat Siasatan Rasuah untuk Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO), yang mengetuai pasukan penyiasat bersama termasuk polis dan pendakwa raya, mempunyai tempoh sehingga 6 Januari untuk melaksanakan waran tangkap tersebut.

Suk Yeol kini digantung daripada menjalankan tugas presiden, dengan Menteri Kewangan, Choi Sang-mok, mengambil alih sebagai pemangku presiden sehingga keputusan perbicaraan diumumkan.

Jika mahkamah menyokong pemecatan tersebut dan Suk Yeol disingkirkan daripada jawatan, pilihan raya Presiden baharu akan diadakan dalam tempoh 60 hari.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD