fb fb fb fb fb

Ganjaran $100,000 untuk penangkapan Edmundo Gonzalez

Calon pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia/ Foto Reuters

CARACAS, 3 Januari - Pihak berkuasa Venezuela menawarkan ganjaran sebanyak $100,000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan calon pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia yang telah meninggalkan tempat buangannya di Sepanyol dan sedang dalam perjalanan ke Argentina.

Gonzalez Urrutia yang menegaskan bahawa beliau telah mengalahkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro, dalam pilihan raya pada Julai, dijangka tiba di Buenos Aires.

Calon berusia 75 tahun itu, yang telah berada di buangan di Sepanyol sejak September berjanji untuk kembali ke negaranya bagi mengangkat sumpah sebagai presiden pada 10 Januari menggantikan Maduro yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan pada hari sama.

Polis Venezuela pada Khamis menyiarkan gambar bekas diplomat yang sebelum ini kurang dikenali itu di media sosial dengan perkataan 'dikehendaki' di bawah imej tersebut.

Calon pembangkang itu melarikan diri ke Sepanyol selepas Maduro mendakwa kemenangan dalam pilihan raya pada 28 Julai.

Selepas tiba di Buenos Aires, Gonzalez Urrutia merancang untuk bertemu dengan Presiden Javier Milei, menurut laporan media Argentina.

Pegawai kehakiman Venezuela memberitahu AFP bahawa poster orang dikehendaki Gonzalez Urrutia akan dipaparkan di lapangan terbang dan pusat pemeriksaan polis di seluruh negara.

Sepanyol memberikan suaka kepada Gonzalez Urrutia pada 20 Disember selepas Venezuela mengumumkan tuduhan konspirasi dan pemerasan terhadapnya. - AFP

TETITIA YUSOFF