SYDNEY, 3 Januari - Seorang peluncur yang hilang di selatan Australia dipercayai maut akibat serangan jerung, kata pihak polis pada Jumaat.
Polis kini sedang menjalankan pencarian di sepanjang pantai bagi mencari mayat mangsa.
Saksi melaporkan melihat seekor jerung menyerang lelaki itu ketika beliau sedang meluncur ombak pada petang Khamis di sebuah lokasi meluncur popular yang dikenali sebagai 'Granites' di Australia Selatan, menurut kenyataan polis.
Konstabel kanan Rebecca Stokes berkata papan luncur milik lelaki berusia 28 tahun itu telah ditemui.
"Tetapi tiada tanda-tanda kehadiran lelaki muda ini, langsung tiada tanda-tanda," katanya kepada penyiar nasional ABC.
Dalam kenyataan berasingan pada Jumaat, polis Australia Selatan percaya mangsa diserang jerung dan dipercayai maut.
Tiada butiran mengenai spesies jerung yang terlibat, tetapi jerung putih besar diketahui sering berkeliaran di sepanjang pantai Australia Selatan yang bergelora.
Pada tahun 2023, seorang lelaki berusia 55 tahun maut akibat serangan jerung ketika meluncur berhampiran Granites.
Dua peluncur lain turut terbunuh akibat serangan jerung di lokasi berbeza di Australia Selatan pada tahun yang sama.
Akhir minggu lalu, seorang pastor berusia 40 tahun maut akibat serangan jerung ketika memancing di luar kawasan Terumbu Sawar Besar di bahagian lain Australia. - AFP