fb fb fb fb fb

Seorang terbunuh dalam insiden letupan Cybertruck di hotel milik Trump

Foto REUTERS

LAS VEGAS, 2 Januari-Sekurang-kurangnya seorang maut dan tujuh lagi cedera apabila sebuah trak elektrik Tesla meletup di luar hotel milik Presiden Amerika Syarikat yang bakal dilantik, Donald Trump, di sini, kata pihak polis pada Rabu.

Sherif Las Vegas, Kevin McMahill, berkata kenderaan tersebut berhenti di pintu masuk Hotel Trump International sebelum meletup.

Rakaman video menunjukkan trak keluli tahan karat itu diletakkan di pintu masuk hotel sebelum meletup dan disusuli letupan kecil yang kelihatan seperti bunga api.

Menurut McMahill, terdapat "seorang individu maut di dalam Cybertruck manakala tujuh yang lain mengalami kecederaan ringan.

Hotel tersebut telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Namun, McMahill berkata setakat ini tiada "petunjuk" bahawa letupan di Las Vegas mempunyai kaitan dengan IS.

"Ia melibatkan trak Tesla, dan kita tahu Elon Musk bekerjasama dengan Presiden Trump, serta berlaku di Menara Trump.

"Jadi, sudah tentu ada perkara yang perlu diberi perhatian dan ini sedang kami teliti", katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden AS Joe Biden berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sebarang kemungkinan kaitan letupan ini dengan serangan trak di New Orleans awal Rabu, yang membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

"Setakat ini, tiada apa-apa untuk dilaporkan berkenaan kaitan tersebut," kata Biden.

Ejen FBI, Jeremy Schwartz, menyifatkan letupan di Las Vegas sebagai "kejadian terpencil,

"Kami tidak percaya ada pihak lain yang terlibat atau membantu kejadian ini", katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Tesla, Elon Musk, berkata letupan tersebut "disebabkan oleh bunga api besar atau bom yang dibawa dalam ruang kargo Cybertruck yang disewa, sambil menambah bahawa kejadian itu "tiada kaitan dengan kenderaan itu sendiri di X.

Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan kanan Tesla sedang menyiasat letupan tersebut.

Pihak polis masih berusaha mengenal pasti punca letupan tersebut.

Media Amerika Syarikat (AS) termasuk NBC dan CBS melaporkan bahawa pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu sebagai serangan berpotensi berkaitan keganasan, berdasarkan sumber yang tidak dinamakan.

Biden sebelum ini menyatakan terdapat petunjuk bahawa suspek serangan di New Orleans diilhamkan oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Terdahulu, Musk, yang menyokong Trump dalam pilihan raya November lalu dan dilantik mengetuai suruhanjaya untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, berkata beliau akan berkongsi maklumat terkini sebaik sahaja mendapat maklumat lebih lanjut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD