NEW ORLEANS, 2 Januari-Suspek serangan di New Orleans telah dikenal pasti oleh FBI sebagai Shamsud-Din Jabbar, seorang warganegara Amerika Syarikat berusia 42 tahun yang merupakan ejen hartanah dari Texas dan bekas anggota tentera.
Dalam satu video YouTube yang dimuat naik empat tahun lalu, Jabbar mempromosikan perkhidmatan pengurusan hartanahnya dan menggambarkan dirinya sebagai perunding yang hebat.
Menurut Pentagon, Jabbar berkhidmat dalam tentera sebagai pakar sumber manusia dan teknologi maklumat dari 2007 hingga 2015, sebelum menyertai simpanan tentera sehingga 2020.
Beliau telah dihantar bertugas ke Afghanistan dari Februari 2009 hingga Januari 2010 dan memegang pangkat Sarjan pada akhir perkhidmatannya.
FBI percaya beliau diberhentikan secara terhormat.
Laporan rekod jenayah oleh The New York Times menunjukkan Jabbar mempunyai dua kesalahan kecil terdahulu, satu pada 2002 kerana mencuri dan satu lagi pada 2005 kerana memandu tanpa lesen yang sah.
Jabbar pernah berkahwin dua kali, dengan perkahwinan keduanya berakhir pada 2022.
Ketika itu, beliau melaporkan masalah kewangan melalui e-mel kepada peguam bekas isterinya.
"Saya tidak mampu membayar ansuran rumah," tulisnya, sambil menyatakan syarikat hartanahnya mengalami kerugian lebih $28,000 pada tahun sebelumnya dan terpaksa menanggung hutang kad kredit untuk membayar yuran guaman.
Abangnya, menyifatkan beliau sebagai seorang yang baik hati, bijak, dan prihatin.
Menurutnya, Jabbar telah memeluk Islam pada usia muda tetapi menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan tidak mewakili Islam dan mengaitkannya dengan tindakan radikal dan bukan agama.
Presiden Joe Biden memberitahu pemberita bahawa Jabbar memuat naik video beberapa jam sebelum serangan yang menunjukkan beliau diinspirasikan oleh ISIS, merujuk kepada kumpulan militan Negara Islam.
FBI turut melaporkan bahawa bendera hitam yang dikaitkan dengan kumpulan itu ditemui dalam kenderaan yang digunakan semasa serangan.
Sementara itu,Universiti Negeri Georgia mengesahkan bahawa Jabbar pernah menuntut di universiti tersebut dari 2015 hingga 2017 dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam sistem komputer.
Dalam videonya di YouTube, yang telah dipadamkan kemudian, Jabbar memuji pengalaman beliau dalam tentera Amerika Syarikat.
"Dengan pengalaman ini, saya belajar makna perkhidmatan yang hebat dan pentingnya mengambil setiap perkara secara serius untuk memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.
Terdahulu, serangan yang didakwa dilakukan oleh Jabbar mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan mencederakan puluhan yang lain apabila beliau memandu trak pada kelajuan tinggi ke arah orang ramai yang sedang meraikan Tahun Baharu di New Orleans.
Pihak berkuasa berkata beliau kemudiannya melepaskan tembakan, dan terbunuh dalam pertempuran dengan polis.-AFP.
BERITA BERKAITAN: