RAMALLAH, 2 Januari- Lebih 3,000 pek darah telah dikumpulkan daripada penduduk Tebing Barat sebagai sebahagian daripada pusingan keempat kempen "Darah Kita Satu" untuk membantu penduduk di Gaza.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan bahawa darah berkenaan akan dihantar ke Gaza dengan kerjasama Rahma Around the World Foundation.
Menteri Kesihatan Palestin, Dr. Majed Abu Ramadan, menegaskan komitmen kementerian untuk terus menyokong penduduk Gaza.
"Kami tetap berdedikasi menyediakan segala keperluan yang layak diterima rakyat kita (penduduk Gaza).
"Sambutan luar biasa daripada penderma itu mencerminkan perpaduan dan kemurahan hati yang mendalam dalam kalangan rakyat Palestin," katanya menerusi kenyataan.