NEW ORLEANS, 2 Januari-Seorang lelaki yang menaiki trak pikap merempuh orang ramai yang sedang menyambut Tahun Baharu di sini pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang dan mencederakan lebih 35 yang lain dalam serangan yang disiasat sebagai tindakan keganasan, menurut pihak berkuasa.
Suspek, yang pada mulanya melarikan diri selepas berbalas tembakan dengan polis, kini telah meninggal dunia," kata FBI tanpa memberikan butiran lanjut.
Polis tempatan melaporkan insiden itu berlaku sekitar pukul 3:15 pagi (waktu tempatan) di tengah-tengah French Quarter, kawasan terkenal yang sesak dengan orang ramai meraikan permulaan tahun 2025.
"Lelaki ini cuba melanggar seramai mungkin orang," kata Ketua Polis Anne Kirkpatrick kepada pemberita.
"Dia bertekad mencetuskan kemusnahan dan kecederaan seperti yang berlaku," katanya.
Penyerang kemudiannya melepaskan tembakan ke arah polis, yang kemudian membalas tembakan.
Dua pegawai cedera tetapi berada dalam keadaan stabil, kata Kirkpatrick.
Walaupun motif serangan masih belum diketahui, FBI menyatakan bahawa mereka "bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyiasat kejadian ini sebagai tindakan keganasan."
Pada mulanya, Kirkpatrick berkata kejadian itu tidak disyaki berkaitan keganasan, tetapi menambah bahawa trak tersebut dipandu pada "kelajuan yang sangat tinggi" dan secara "sengaja".
Sementara itu, Presiden Joe Biden menghubungi Datuk Bandar New Orleans, LaToya Cantrell, untuk menawarkan sokongan penuh dari kerajaan persekutuan berikutan berita tragis itu, menurut kenyataan Rumah Putih.
"Tidak ada justifikasi untuk sebarang bentuk keganasan, dan kami tidak akan bertolak ansur dengan sebarang serangan terhadap komuniti negara ini," kata Biden.
Gabenor Louisiana, Jeff Landry, menyifatkan kejadian itu sebagai "tindakan keganasan yang mengerikan."
Dalam pada itu, Presiden terpilih Donald Trump, mengaitkan serangan itu dengan isu pendatang haram, walaupun polis belum mendedahkan identiti atau kewarganegaraan penyerang.
"Apabila saya mengatakan penjenayah yang masuk jauh lebih buruk daripada penjenayah yang kita ada di negara ini.
"Ia terbukti benar," kata Trump di media sosial.
Beliau juga mendakwa kadar jenayah negara berada pada tahap "yang tidak pernah dilihat sebelum ini," walaupun statistik FBI menunjukkan jenayah ganas menurun secara mendadak di seluruh negara.
Pada waktu awal pagi Tahun Baharu, kawasan French Quarter yang terkenal dengan bar, restoran dan sejarah jazz, sesak dengan pengunjung.
Saksi, Jim Mowrer, memberitahu CBS News bahawa trak berwarna putih merempuh penghadang "pada kelajuan yang sangat tinggi."
"Kami berada di tengah jalan dan sempat melarikan diri ke kaki lima serta bersembunyi di pintu bangunan untuk berlindung. Kami mendengar tembakan, melihat polis bergegas," katanya.
"Selepas tembakan berhenti, kami keluar ke jalan dan melihat ramai yang cedera. Malangnya, beberapa orang telah meninggal dunia."
New Orleans, antara destinasi pelancongan paling popular di Amerika Syarikat, sedang bersiap sedia untuk perlawanan bola sepak utama, Sugar Bowl, melibatkan pasukan University of Georgia dan Notre Dame.
Dengan jangkaan kehadiran orang ramai yang besar, pihak berkuasa telah meningkatkan kawalan keselamatan semasa sambutan Tahun Baharu.
Jabatan polis bandar itu menyatakan ia beroperasi pada "kapasiti penuh, dengan tambahan 300 pegawai dari agensi penguatkuasaan lain," termasuk unit berkuda dan unit tidak bertanda.-AFP.