fb fb fb fb fb

Diplomat tertinggi Syria harap buka lembaran baharu dengan Arab Saudi

Menteri Luar Syria, Asaad Hassan al-Shibani / Foto REUTERS

DAMSYIK, 2 Januari-Diplomat tertinggi Syria menyatakan harapannya untuk membuka lembaran baharu dengan Arab Saudi semasa tiba di kerajaan itu pada Rabu.

Lawatan luar negara berkenaan merupakan yang pertama bagi pemerintah baharu Syria yang mengambil alih kuasa bulan lalu.

"Saya baru sahaja tiba di Kerajaan Arab Saudi yang bersaudara, diiringi oleh Menteri Pertahanan Murhaf Abu Qasra dan Ketua Perkhidmatan Perisikan Am Anas Khattab," kata Assaad al-Shibani dalam satu kenyataan di X.

"Melalui lawatan pertama dalam sejarah Syria merdeka ini, kami berharap untuk membuka lembaran baharu yang cerah dalam hubungan Syria-Arab Saudi yang sejajar dengan sejarah panjang yang dikongsi kedua-dua negara," tambahnya.

Media rasmi Syria sebelum ini melaporkan bahawa delegasi tertinggi itu tiba di kerajaan tersebut atas jemputan menteri luar Arab Saudi, memetik sumber dari kementerian luar.

Kenyataan yang dikongsi oleh Kementerian Luar Syria menyebut Timbalan Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Waleed bin Abdulkarim El-Khereiji, telah menerima delegasi tersebut di lapangan terbang antarabangsa di Riyadh.

Kenyataan itu turut disertakan dengan gambar beliau bersalaman dengan Shibani serta gambar-gambar pegawai Arab Saudi duduk berbincang bersama delegasi Syria.

Bulan lalu, delegasi Saudi telah bertemu pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa, di Damsyik, menurut sumber yang rapat dengan kerajaan Saudi kepada AFP ketika itu.

Sharaa mengetuai kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham yang memimpin serangan kumpulan penentang kerajaan yang menggulingkan Presiden Bashar al-Assad pada 8 Disember.

Minggu lalu, dalam satu temu bual dengan saluran televisyen milik Saudi, Al Arabiya, Sharaa berkata Arab Saudi pasti akan memainkan peranan besar dalam masa depan Syria, sambil merujuk kepada peluang pelaburan besar untuk semua negara jiran".

Ekonomi dan infrastruktur Syria telah musnah lebih 13 tahun akibat perang saudara yang bermula dengan tindakan keras terhadap protes prodemokrasi pada tahun 2011.

Arab Saudi memutuskan hubungan dengan kerajaan Assad pada tahun 2012 dan menyokong kumpulan penentang Syria yang cuba menggulingkannya pada peringkat awal perang saudara negara itu.

Namun, tahun lalu, Riyadh memulihkan hubungan dengan kerajaan Assad dan memainkan peranan penting dalam mengembalikan Syria ke Liga Arab, sekali gus menamatkan pengasingan serantau negara itu.

Arab Saudi kini menjadi pasaran utama bagi captagon, sejenis dadah yang mendapat permintaan tinggi di Teluk yang kaya dengan minyak.

Dadah yang bersifat seperti amfetamin itu merupakan eksport paling bernilai Syria di bawah Assad, menjadikan negara itu salah satu negara pengeluar dadah (narco-state) terkemuka di dunia.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD