fb fb fb fb fb

Serbuan Israel di Nablus, tiga ditembak termasuk remaja

Serbuan Israel di Nablus / Foto WAFA

NABLUS, 2 Januari- Tiga orang awam Palestin, termasuk seorang remaja, cedera selepas ditembak oleh tentera Israel di Nablus, pada Selasa lalu.

Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memaklumkan bahawa kejadian itu turut menyebabkan dua individu lain ditahan.

"Mangsa yang cedera termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang ditembak di kaki, seorang lelaki berusia 26 tahun yang cedera di paha, dan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditembak di belakang.

"Ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan perubatan," menurut laporan WAFA.

Sumber tempatan melaporkan bahawa pasukan khas Israel menyerbu bandar tersebut; mencetuskan pertembungan dengan penduduk tempatan.

Saksi menyatakan bahawa pasukan itu mengepung sebuah kafe, yang membawa kepada konfrontasi sehingga tentera melepaskan tembakan peluru hidup yang mencederakan mangsa.

Semasa serbuan itu, tentera Israel menahan pemilik kafe yang dikenali sebagai Ahmed Qadri, bersama seorang individu lain yang identitinya masih belum diketahui.

Insiden itu menambah ketegangan di kawasan tersebut dan menerima kecaman daripada penduduk tempatan serta kumpulan hak asasi manusia.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM