RAMALLAH, 2 Januari-Pihak Berkuasa Palestin pada Rabu telah mengarahkan penggantungan siaran oleh saluran Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar di seluruh wilayah Palestin, dengan menuduh rangkaian itu menyiarkan kandungan menghasut menurut laporan media rasmi.
"Jawatankuasa menteri khas, yang terdiri daripada kementerian kebudayaan, dalam negeri dan komunikasi, telah memutuskan untuk menggantung siaran dan membekukan semua aktiviti saluran satelit Al Jazeera serta pejabatnya di Palestin," kata agensi berita rasmi Wafa.
"Keputusan itu juga termasuk pembekuan sementara terhadap kerja semua wartawan, kakitangan, kru dan saluran berkaitan sehingga status undang-undang mereka diperbetulkan berikutan pelanggaran undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di Palestin," tambah laporan itu.
"Keputusan ini diambil sebagai tindak balas terhadap keengganan Al Jazeera untuk menghentikan penyiaran kandungan dan laporan yang berunsur hasutan, maklumat salah, fitnah dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Palestin."
Seorang pekerja Al Jazeera yang dihubungi oleh AFP mengesahkan bahawa pejabat rangkaian itu di Ramallah telah menerima perintah penggantungan pada Rabu.
Pada hari yang sama juga, saluran tersebut menyiarkan imej yang kelihatan menunjukkan pegawai keselamatan Palestin memasuki pejabat rangkaian itu di sini dan menyerahkan arahan penggantungan, tetapi masih belum ada reaksi daripada saluran tersebut terhadap tindakan pihak berkuasa Palestin.
Kumpulan Hamas mengutuk keputusan untuk mengharamkan rangkaian itu.
"Keputusan ini sejajar dengan siri tindakan sewenang-wenangnya baru-baru ini oleh pihak berkuasa untuk menyekat hak dan kebebasan awam, serta mengukuhkan cengkaman keselamatan ke atas rakyat Palestin," kata Hamas dalam satu kenyataan.
"Kami menyeru Pihak Berkuasa Palestin supaya segera membatalkan keputusan ini.
"Adalah penting untuk memastikan kesinambungan liputan media yang mendedahkan penjajahan dan menyokong ketabahan rakyat kami."
Sementara itu, ketegangan antara rangkaian yang berpangkalan di Doha dan pergerakan Fatah yang diketuai Presiden Palestin Mahmud Abbas meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan liputan saluran itu mengenai pertempuran antara pasukan keselamatan Palestin dan Hamas di Jenin.
Pada akhir Disember, saluran itu mengecam apa yang dikatakannya sebagai "kempen hasutan" oleh Fatah terhadap rangkaian tersebut di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki.
"Kempen ini berlaku susulan liputan rangkaian mengenai pertempuran antara pasukan keselamatan Palestin dan pejuang di Jenin," kata kenyataan itu ketika itu.
"Semasa melaporkan peristiwa tragis di Jenin, Al Jazeera memastikan kehadiran semua suara, termasuk pejuang penentangan dan jurucakap pasukan keselamatan Palestin."
Pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin, yang mempunyai kawalan terhad di Tebing Barat, telah terlibat dalam pertempuran berdarah dengan lelaki bersenjata sejak awal Disember, susulan penangkapan beberapa kumpulan.
Mereka berdepan anggota Batalion Jenin, kebanyakannya bersekutu dengan Jihad Islam atau Hamas.
Keganasan di kem pelarian Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata di utara Tebing Barat dan sasaran serbuan tentera Israel yang kerap, telah meragut nyawa 11 orang termasuk anggota keselamatan Palestin dan orang awam.
Keputusan Pihak Berkuasa Palestin ini dibuat lebih tiga bulan selepas tentera Israel menyerbu pejabat rangkaian tersebut di Ramallah.
Rangkaian itu sudah diharamkan daripada bersiaran di Israel susulan perseteruan berpanjangan dengan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang semakin memburuk semasa perang yang berterusan di Gaza.-AFP.