LISBON, 16 November - Tiga orang terkorban manakala puluhan lagi cedera akibat Ribut Claudia di Portugal, menurut pihak berkuasa pada Sabtu.
Portugal dan sebahagian wilayah berhampiran di Sepanyol berdepan keadaan cuaca ekstrem sejak beberapa hari lalu akibat ribut berkenaan, yang turut mula memasuki kawasan Britain dan Ireland pada Sabtu.
Di Albufeira, selatan Portugal, satu kejadian puting beliung dilaporkan melanda kawasan itu. Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan puting beliung berkenaan merosakkan serta memusnahkan karavan di sebuah tapak perkhemahan.
Komander Perlindungan Awam wilayah, Vitor Vaz Pinto, memaklumkan seorang wanita warga Britain berusia 85 tahun maut dalam kejadian tersebut.
Seramai 28 individu turut cedera di sebuah hotel berhampiran, dengan dua daripadanya kini dirawat di hospital dalam keadaan serius.
Rakaman video orang awam pada Sabtu turut memaparkan beberapa kenderaan melalui jalan yang ditenggelami air di sekitar Albufeira.
Dalam kenyataan pada Sabtu, Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa menyampaikan solidariti kepada keluarga mangsa yang terkorban di Albufeira serta mendoakan pemulihan segera kepada semua yang cedera.
Sementara itu, perkhidmatan cuaca Portugal, IPMA, meletakkan seluruh kawasan Algarve serta daerah Beja dan Setubal pada amaran jingga, iaitu tahap kedua tertinggi.-READER