TEHRAN, 16 November - Pihak berkuasa Iran memulakan operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan ketika negara itu berdepan kemarau paling teruk dalam beberapa dekad, lapor media rasmi.
“Pada hari ini, satu penerbangan pembenihan awan telah dijalankan di lembangan Tasik Urmia buat pertama kali dalam tahun air semasa,” yang bermula pada September, lapor agensi berita rasmi IRNA lewat Sabtu.
Urmia, terletak di barat laut, merupakan tasik terbesar Iran, namun kini hampir kering dan bertukar menjadi hamparan garam akibat kemarau berpanjangan.
IRNA menambah bahawa operasi seterusnya akan dijalankan di wilayah Azerbaijan Timur dan Barat.
Pembenihan awan melibatkan penyemburan zarah seperti perak iodida dan garam ke dalam awan menggunakan pesawat bagi merangsang penghasilan hujan.
Tahun lalu, Iran mengumumkan bahawa negara itu telah membangunkan teknologinya sendiri bagi tujuan tersebut.
Pada Sabtu, IRNA melaporkan hujan telah turun di kawasan Ilam, Kermanshah, Kurdistan dan Lorestan di barat, serta di wilayah Azerbaijan Barat di barat laut.
Ia memetik organisasi meteorologi negara itu sebagai berkata bahawa jumlah hujan tahun ini menurun sekitar 89 peratus berbanding purata jangka panjang.
“Kita kini mengalami musim luruh paling kering dalam tempoh 50 tahun,” tambahnya.
Media kerajaan turut menyiarkan rakaman salji turun di Gunung Tochal dan pusat peranginan ski berhampiran Tehran, di banjaran Alborz, buat pertama kali tahun ini.
Iran, sebuah negara yang kebanyakannya beriklim kering, telah sekian lama berdepan musim kemarau kronik dan gelombang haba yang dijangka bertambah buruk akibat perubahan iklim.
Jumlah hujan di Tehran berada pada paras terendah dalam tempoh satu abad, menurut pegawai tempatan, dan separuh wilayah di Iran tidak menerima walau setitik hujan dalam beberapa bulan.
Paras air di takungan utama turut jatuh ke rekod terendah.
Awal bulan ini, Presiden Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa Tehran mungkin berdepan pemindahan penduduk jika hujan tidak turun sebelum musim sejuk.
Beberapa negara serantau seperti Emiriah Arab Bersatu turut menggunakan kaedah sama untuk menghasilkan hujan buatan.-AFP