LONDON, 16 November - Britain mengumumkan status pelarian akan menjadi bersifat sementara, manakala tempoh menunggu untuk penempatan tetap akan dilanjutkan kepada 20 tahun, di bawah pembaharuan paling besar dalam dasar pelarian sejak kebelakangan ini.
Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, berkata kepada BBC pada Ahad bahawa reformasi berkenaan akan “mengubah anggapan lama selama beberapa generasi bahawa perlindungan diberikan kepada pelarian boleh membawa kepada penempatan tetap dengan cepat.”
Kerajaan Parti Buruh dilaporkan semakin mengetatkan dasar imigresen, terutamanya berkaitan penyeberangan haram menggunakan bot kecil dari Perancis, bagi mengekang populariti parti populis Reform UK yang mengemukakan agenda imigresen.
Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, kewajipan undang-undang untuk menyediakan sokongan kepada sesetengah pemohon suaka, termasuk perumahan dan elaun mingguan, akan dimansuhkan, menurut kenyataan Jabatan Dalam Negeri yang dikeluarkan lewat Sabtu.
Langkah itu akan terpakai kepada pemohon suaka yang mampu bekerja tetapi enggan berbuat demikian, serta mereka yang melanggar undang-undang.
Jabatan Dalam Negeri menambah, perlindungan untuk pelarian kini akan bersifat sementara, disemak secara berkala dan boleh ditarik balik jika negara asal dianggap selamat.-REUTERS