fb fb fb fb fb

Kotak hitam pesawat Jeju Air berhenti merakam empat minit sebelum nahas

Foto Reuters

SEOUL, 11 Januari – Kotak hitam pesawat Jeju Air yang terhempas sehingga menyebabkan 179 mangsa terkorban dilaporkan berhenti merakam data empat minit sebelum tragedi itu berlaku.

Kementerian Pengangkutan Korea Selatan dalam satu kenyataan menyatakan, "Analisis menunjukkan bahawa kedua-dua data perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) tidak dirakam selama empat minit sebelum pesawat bertembung dengan 'Localiser'."

Kedua-dua peranti rakaman itu memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat teknikal dan komunikasi kokpit sebelum nahas berlaku.

Localiser ialah penghalang di hujung landasan yang membantu pendaratan pesawat dan dikatakan memperburuk keterukan nahas tersebut.

Perakam data penerbangan yang rosak telah dianggap tidak dapat memulihkan data oleh pihak berkuasa Korea Selatan, yang menghantarnya ke Amerika Syarikat untuk dianalisis di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS (NTSB).

Namun, kotak hitam yang mengandungi petunjuk penting mengenai detik-detik terakhir penerbangan itu mengalami kehilangan data, menyebabkan pihak berkuasa berusaha mencari punca kejadian.

"Rancangan telah disusun untuk menyiasat punca kehilangan data semasa siasatan kemalangan yang sedang berlangsung," kata kementerian tersebut.

Penyiasat dari Korea Selatan dan AS masih menyiasat punca nahas itu, yang mencetuskan luahan kesedihan secara nasional dengan memorial didirikan di seluruh negara.

Penyiasat menyatakan kotak hitam itu penting untuk siasatan mereka tetapi menegaskan mereka tidak akan berputus asa untuk mencari punca kejadian.

"Siasatan akan dijalankan melalui pemeriksaan dan analisis pelbagai data. Jawatankuasa ini komited untuk melakukan yang terbaik bagi menentukan punca kemalangan secara tepat," kata kementerian tersebut.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN